Moratorium, i-Sinar akan diumum dalam masa terdekat – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR 26 Jun – Kementerian Kewangan akan mengumumkan bantuan sewajarnya berkaitan moratorium dan pengeluaran i-Sinar dalam masa terdekat.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementeriannya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan agensi berkaitan mengenai perkembangan itu.
“Saya sudah berbincang dengan PM (Perdana Menteri) dan agensi berkaitan. Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat, InsyaAllah,” katanya menerusi hantaran Facebook peribadi miliknya hari ini.
Semalam, dalam hantaran laman sama, beliau berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi memperhalusi bantuan yang sesuai dalam Pelan Pemulihan Negara yang kini berada pada tahan Fasa 1.
Katanya, kerajaan memahami keperitan rakyat yang memerlukan bantuan bagi mengharungi fasa itu dan fasa seterusnya.
“Kerajaan sentiasa mempertimbangkan semua cadangan serta penyelesaian yang dikemukakan dan salah satu permintaan yang sering kami terima ialah perlanjutan program i-Sinar dan i-Lestari,” katanya.
Dalam pada itu, pemberian moratorium diberikan kepada peminjam terjejas pendapatan dan hilang pekerjaan yang tidak terhad kepada golongan B40, sebaliknya kumpulan M40 dan T20 juga boleh mengemukakan permohonan.
Pada ketika ini, negara masih belum memenuhi kriteria sasaran Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 berikutan kes COVID-19 harian merekodkan melebihi daripada 4,000 kes meskipun Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kerajaan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua selepas purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal dan 10 peratus populasi sudah menerima dua dos suntikan vaksin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.