Moratorium enam bulan kepada semua peminjam
PUTRAJAYA 28 Jun – Kerajaan dengan kerjasama pihak bank bersetuju memberikan moratorium selama enam bulan kepada semua peminjam individu di seluruh negara.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua golongan tidak kiralah B40, M40, T20 mahupun usahawan mikro layak menerima moratorium berkenaan.
Jelasnya, permohonan bagi moratorium itu akan mula dibuka mulai 7 Julai depan tanpa menetapkan sebarang syarat tertentu.
“Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.
“Permohonan akan dibuka pada 7 Julai dan peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menzahirkan harapan inisiatif moratorium yang diumumkan itu sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar pandemik COVID-19 di negara ini.
Beliau bagaimanapun berpesan agar tawaran itu digunakan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain dalam tempoh ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.