Monsun Timur Laut kali ini dijangka lebih serius
Beliau berkata indikator awal terhadap keadaan monsun kali ini berdasarkan jumlah pemindahan mangsa akibat bencana yang kini pada tahap 67 peratus dalam tempoh sebulan berbanding jumlah keseluruhan mangsa dipindahkan pada MTL lepas.
“Jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah 121,864 orang iaitu 67 peratus berbanding jumlah keseluruhan sebelum ini.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melakukan pemantauan 24 jam sepanjang tempoh MTL ini yang bermula November lepas hingga Mac depan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kampung Forest di sini, yang terjejas akibat fenomena air pasang besar sejak malam Sabtu lepas.
Bagi Sabah pula, Armizan berkata meskipun ramalan cuaca luruan kedua monsun sepatutnya berakhir hari ini, semakan terhadap laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan masih pada tahap waspada hingga 31 Dis ini.
Mengenai fenomena air pasang besar di negeri ini, beliau menghargai kecekapan jabatan dan agensi terlibat menyelamatkan nyawa sebelum bencana yang dibawa oleh fenomena itu berlaku.
Menurutnya kerajaan akan menilai syor dan cadangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah khususnya di Sandakan, mengenai keselamatan Kampung Forest sebagai tempat tinggal penduduk.
Katanya mangsa seramai 705 orang daripada 126 keluarga yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2, setakat ini tidak mempunyai rumah untuk kembali memandangkan fenomena air pasang besar telah menyebabkan lebih 100 rumah di atas air di kampung itu roboh.
Armizan berkata antara cadangan penyelesaian sementara ialah untuk menempatkan mereka di PPS untuk tempoh lebih lama.
Pada malam Sabtu lepas, sebanyak 70 rumah roboh akibat fenomena itu, manakala 38 lagi pada keesokan malamnya dan terbaharu, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek memaklumkan dua lagi rumah roboh kira-kira 1 pagi tadi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.