Sorting by

×

Monsun Timur Laut: Agensi, jabatan Melaka diminta siap siaga

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 15 November – Semua agensi dan jabatan Kerajaan Negeri diminta membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam ketika musim Monsun Timur Laut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari berkata, kesiapsiagaan semua pihak terbabit amat penting berikutan pemakluman mengenai keadaan semasa cuaca yang tidak menentu.

Katanya, senario semasa yang berlaku menuntut untuk semua agensi terlibat menangani bencana alam untuk tidak alpa dan sentiasa bersedia.

“Kita minta semua unit agensi dan jabatan tangani bencana alam untuk sentiasa bersedia untuk merancang dan menyelaras tindakan menyelamat serta mitigasi kesan bencana alam terutamanya banjir.

“Jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) harus bersedia dengan maklumat kawasan ‘hotspot’ banjir yang tepat.

“Ini bagi memastikan perancangan aktiviti menyelamat boleh dibuat oleh agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan lain-lain agensi terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Maslina Baki; Ketua Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Fauzi Elham@Aihim; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri, Datuk Noraini Tawel dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan kenyataan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula pada 11 November dan berterusan sehingga Mac 2024.

MetMalaysia meramalkan, dalam tempoh terbabit, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka bakal berlaku di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2717
Kongsi :
Previous post 1,000 penjawat awam Melaka diraikan
Next post Anak lembu jatuh parit diselamatkan
Ubah saiz-+=