Monsun Barat Daya: Kompaun menanti jika lakukan pembakaran terbuka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 19 Mei – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara akan mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak atau individu yang didapati sengaja melakukan pembakaran terbuka bermula bulan ini hingga September.

Ia berikutan fasa Monsun Barat Daya mula melanda negara dan dijangka mengakibatkan cuaca panas dan kering.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan kebakaran tidak terkawal yang boleh mengundang masalah lebih serius seperti kesan kepada alam sekitar dan kerugian kepada negara.

“Sepanjang tahun lalu, negara telah mengalami kerugian lebih RM2.6 bilion akibat kebakaran dan ini merupakan satu jumlah yang besar.

“Oleh sebab itu, saya telah mengeluarkan arahan kepada PBT untuk mengeluarkan kompaun kepada mereka yang terlibat.

“Saya merayu kepada semua pihak untuk memberi kerjasama yang baik agar pembakaran tidak berlaku sepanjang tempoh kemarau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Larian Bersama Bomba 2024 Malaysia Madani di perkarangan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Wira M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

105
Kongsi :
Previous post Pembinaan litar RC antarabangsa Tanjung Bidara bermula November
Next post Mayat pemancing lemas di Empangan Tasik Pedu ditemukan
Ubah saiz-+=