Sorting by

×

Monsta bawakan tema ‘Beyond’ sempena ulang tahun ke-10 BoBoiBoy

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR 16 Mac. – Genap 10 tahun sejak kali pertama diperkenalkan pada 13 Mac 2011, Monsta mengajak peminat siri animasi BoBoiBoy di seluruh negara untuk meraikan sambutan bertemakan ‘BoBoiBoy Beyond’ dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun.

Syarikat Monsta dalam kenyataan hari ini memaklumkan sambutan dimulakan dengan tayangan semula episod satu daripada musim pertama BoBoiBoy, dengan lima minit adegan baharu yang memaparkan pertalian antara BoBoiBoy dengan ayahnya, Amato.

Menurutnya, episod khas berdurasi 30 minit itu dimuat naik di Monsta YouTube Channel pada 14 Mac lalu dan sudah mencecah tiga juta tontonan dalam masa 24 jam serta hampir 2,000 kongsian menerusi laman Facebook rasmi BoBoiBoy.

Ketua Pegawai Eksekutif Monsta Nizam Abd Razak dalam laman Facebook rasminya sebelum ini berkata sambutan ulang tahun BoBoiBoy itu bakal diraikan sepanjang tahun ini.

“Episod khas BoBoiBoy Extended Version Episod 1, Musim 1 ini hanyalah permulaan daripada kami sebagai hadiah kepada para peminat setia BoBoiBoy dan Monsta,” katanya.

Menurut kenyataan itu, episod khas berkenaan menjadi bahan sohor kini (trending) dalam laman sosial Twitter di Malaysia dan Indonesia dengan tanda pagar #BoBoiBoyBeyond10, dan reaksi positif serta keterujaan penonton turut membanjiri ruangan komen media sosial BoBoiBoy setelah 10 tahun penantian peminat untuk melihat interaksi generasi adiwira tempatan itu.

Episod khas ‘Extended Version’ bakal ditayangkan di stesen televisyen tempatan TV3 dan stesen televisyen Indonesia RTV pada cuti sekolah Mac ini dan diikuti tayangan khas klip pendek edisi raya bersempena perayaan Aidilfitri pada Mei nanti.

Menurut Monsta, filem BoBoiBoy Movie 3 kini dalam proses pembikinan awal dan dijangka ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2022.

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan 13 Mac adalah hari jadi BoBoiBoy dan sambutan telah diraikan dengan meriah oleh peminat dan penonton serata dunia pada Sabtu lalu.

“Dengan penggunaan tanda pagar #HappyBoBoiBoyDay, ratusan hasil seni dan rakaman video oleh peminat-peminat telah dimuat naik di ruangan media sosial dan kemeriahannya tidak terhenti di situ sahaja.

“Pelbagai program, acara menarik dan barangan keluaran terbaharu telah diaturkan oleh pihak Monsta bagi meraikan tahun terbesar buat siri BoBoiBoy ini bersama para peminat dan penonton seisi keluarga,” katanya.

Menurut kenyataan itu, BoBoiBoy bukan sekadar hiburan animasi semata-mata dan sejak sedekad lalu, cerita itu membawakan mesej murni yang boleh diteladani oleh anak muda, selain menjadikan karakter BoBoiBoy lebih dekat di hati rakyat Malaysia serta simbol ‘role model’ dalam kalangan kanak-kanak.

Bermula di kaca televisyen Malaysia, BoBoiBoy kini berjaya menembusi lebih 70 negara di seluruh dunia antaranya Korea, China, Turki dan Amerika Syarikat.

Katanya, pencapaian itu tidak akan berjaya tanpa sokongan dan dorongan rakyat serta penonton dari serata dunia.

“Walaupun ramai penonton dan peminat bakal mengenang perjalanan BoBoiBoy selama sedekad ini dengan penuh perasaan nostalgia, Monsta memberikan kepastian bahawa sambutan 10 tahun bersama BoBoiBoy tidak akan terhenti di sini.

“Monsta mengetengahkan tanda pagar #BoBoiBoyBeyond10 sebagai kata kunci untuk ulang tahun ini, dengan harapan siri animasi BoBoiBoy akan terus mencipta nama selepas sedekad sudah bertapak dalam industri animasi tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

900
Kongsi :
Previous post Polis tahan lelaki pecahkan cermin kenderaan guna topi keledar
Next post MUFC sedia lenyapkan ego ‘Sang Penyu’
Ubah saiz-+=