Sorting by

×

Mohon tambah peruntukan bagi masyarakat Orang Asli di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

ASAHAN 5 Ogos –  Penambahan bagi peruntukan membaik pulih rumah masyarakat Orang Asli di Melaka termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan diperlukan bagi memastikan golongan itu memiliki kediaman lebih selesa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Fairul Nizam Roslan berkata Kerajaan Negeri akan mendapatkan permohonan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi pembinaan baik pulih itu.

Katanya, tambahan peruntukan itu membolehkan lebih ramai dalam kalangan Orang Asli yang tidak berkemampuan dapat dibantu terutamanya selepas berkahwin.

“Setakat ini pihak kita difahamkan hanya satu sahaja projek diluluskan untuk pembinaan sebuah rumah di Melaka menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Dan ia lebih merumitkan pihak terbabit (JAKOA) memilih penerima yang benar-benar layak memandangkan lebih ramai yang memerlukan bantuan tersebut.

“Di Asahan sahaja terdapat empat perkampungan Orang Asli termasuk 14 perkampungan  di seluruh negeri dimana ADUN kawasan masing-masing  turut menyuarakan permasalahan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program MEKAR bersama komuniti Orang Asli, Kampung Gapam Baru di Dewan Komuniti Orang Asli di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Zamri Misman, Pengarah JPN Melaka, Norazlee Sulaiman dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Melaka dan Negeri Sembilan, Shahrani Idderis.

IMG_9716
FAIRUL Nizam beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli Kampung Gapam Baru pada Program MEKAR. Foto Facebook Fairul Nizam Along

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata pihaknya berharap perkara itu mendapat perhatian daripada kerajaan Persekutuan untuk bersama menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.

Tambahnya, beliau turut meminta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk membantu.

“Rumah ini adalah kemudahan asas, jadi kita perlu sama-sama memandang serius supaya memastikan mereka juga mendapat bantuan sewajarnya dan menikmati kehidupan lebih selesa walaupun tinggal di luar bandar.

“Kita juga akan minta bantuan dari MAIM menerusi peruntukan mereka bagi mengenal pasti masyarakat Orang Asli yang beragama Islam dan memerlukan bantuan bina rumah baharu atau baik pulih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1731
Kongsi :
Previous post Taman safari terbesar bakal dibuka di Melaka
Next post Isu cip MyKad dan MyKid selesai Disember ini
Ubah saiz-+=