Mohon Melaka iktiraf Datuk Naning

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

ALOR GAJAH 18 Mac – Lembaga Adat Naning ke- 22 akan mengadakan rundingan bersama kerajaan negeri Melaka dalam tempoh terdekat bagi memohon pertimbangan untuk mengiktiraf pelantikan Datuk Naning yang dilantik melalui institusi terbabit.

Pembesar Waris Perut Ketiga Datuk Paduka Seri Maharaja, Kamaruddin Manap berkata
rundingan tersebut bagi meminta kerajaan negeri mengiktiraf Adat Naning yang ke-22 mengikut Perlembagaan Negeri Fasal 34 di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka.

Katanya, perkara itu turut terkait di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia berdasarkan jadual kelapan, fasal ke-19.

“Jadi kita berharap kerajaan negeri Melaka dapat mengiktiraf Naning mengikut adat Naning itu sendiri kerana ini satu warisan yang tua.

“Insya-Allah, kita akan berbincang berbincang dengan Pengerusi Lembaga Adat Perpatih Naning, pembesar waris dan beberapa orang profesor yang telah buat kajian tentang Naning ini dan berunding dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam masa terdekat.

“Pengiktirafan ini adalah sebagai tanda penghargaan adat Naning yang sudah wujud sejak ratusan tahun dahulu termasuk terlibat dalam perang menentang penjajah ketika era penjajahan British dan Belanda,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Istiadat Berkerjan Datuk Undang Naning di Kompleks Adat Perpatih Naning Melaka, Melekek, di sini, hari ini.

KAMARUDDIN

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata sebagai pewaris dan orang Melayu, institusi Naning adalah menjadi satu kerugian apabila Naning yang terdapat 25 mukim di negeri ini tidak diiktiraf kerajaan Melaka.

“Kita minta kerajaan mengikraf pelantikan Datuk dari Naning ini yang merupakan salah satu negeri asal yang membentuk persekutuan Negeri Sembilan pada abad yang ke-16

“Jika tiada tindakan, identiti bangsa ini akan hilang begitu saja dan kita boleh lihat orang muda yang ada pun ada yang tidak tahu sulur galur keturunan mereka ini,.

“Sedih melihat generasi yang ada ini akan datang pun tak tahu sejarah wilayah Naning sebagai sebuah wilayah tertua sekali di Malaysia dalam pengamalan adat Perpatih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata Lembaga Adat Naning juga amat prihatin dan menyantuni terhadap sebarang musibah yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia termasuklah bantuan ketika bencana banjir melanda sekitar akhir tahun lalu dan awal tahun ini yang menyaksikan sebanyak 342 keluarga dibantu dengan pelbagai bantuan merangkumi makanan, kewangan serta bantuan sokongan.

“Selain itu juga pelbagai Unit Prihatin Naning sentiasa komited meneruskan misi bantuan dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat.

“Unit Prihatin Naning juga cakna terhadap permasalahan yang dihadapi oleh golongan asnaf dan golongan terpinggir dengan sentiasa terkehadapan dalam memberikan bantuan kepada golongan ini,” katanya.

Dalam aspek pembangunan agama dan kerohanian, pula katanya, program pembudayaan al-Quran Naning telah berjalan bersama Rakan Al-Quran negeri Melaka lebih daripada setahun.

Selain itu, ujarnya, Lembaga Adat Naning juga sedang merangka kerjasama bersama beberapa NGO dalam menubuhkan pusat bimbingan agama dan madrasah dalam masa terdekat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5859
Kongsi :
Previous post Harimau Malaya dapat sesuaikan diri dengan rejim latihan baharu – Kogi
Next post 30 warga tempatan kunjungi pusat hiburan dikompaun RM1,000
Ubah saiz-+=