‘MOHON MAAF DALAM TEMPOH TUJUH HARI’

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

ASAHAN 5 September – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof diberi masa tujuh hari bermula hari ini untuk membuat permohonan maaf atas kenyataan beliau terhadap Kerajaan Negeri Melaka yang kononnya cuba menindas penjawat awam.

Dakwaan kononnya Kerajaan Negeri menindas pejawat awam itu berkaitan perpindahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke bangunan sementara di Wisma Amanah, Batu Berendam kononnya tidak sesuai diduduki kerana mengalami pelbagai kerosakan, tidak memiliki Sijil Kesempurnaan Menduduki (CF), selain tidak dipersetujui anggota polis.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, hantaran dibuat Adun Sungai Udang, menerusi platform media sosial miliknya disifatkan sebagai keterlaluan.

“Saya amat bersedih dengan sikap Adun Sungai Udang yang mengatakan Kerajaan Negeri seolah-olah zalim terhadap penjawat awam terutamanya anggota polis di negeri ini.

“Perkara itu tidak berlaku pun, malah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mendengar keluh kesah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kita bantu menyelesaikan masalah mereka.

“Kalau benar penjawat awam di Melaka dizalimi sila kemukakan bukti, saya bagi tempoh seminggu bermula hari ini untuk menarik balik kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA Tahun 2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Dewan Besar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar di sini, hari ini.

Fairul Nizam berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya jika Adun Sungai Udang itu tidak membuat permohonan maaf selepas tempoh masa ditetapkan.

“Cukuplah berpolitik secara jahat dan ambil maklumat orang lain untuk memburukkan kerajaan, tolong buat kerja dan bantu DUN sendiri.

“Jangan hanya berpolitik kita kena bantu rakyat dan bukannya menabur fitnah supaya rakyat suka kepada kita, ini adalah tindakan yang tidak betul,” katanya.

Susulan tular berbaur fitnah tular di media sosial itu Ab Rauf mengadakan lawatan ke Wisma Amanah yang dicadangkan sebagai bangunan sementara IPD Melaka Tengah.

Pada lawatan selama 45 minit itu Ab Rauf diberi penerangan mengenai kerja baik pulih yang dijalankan pada bangunan terbabit sebelum proses pemindahan dilakukan secara berperingkat yang dijangka bermula hujung bulan ini.

Sementara itu Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mewakili Kerajaan Negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bangunan lama IPD Melaka Tengah berusia 100 tahun yang terletak di Banda Hilir dicadang akan dijadikan Muzium Polis.

Jelas beliau perkara itu telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sejak sekian lama, sebelum isu perpindahan IPD berkenaan menjadi tular.

Dr. Muhamad Akmal turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan liar mengatakan tapak tersebut dijual oleh Kerajaan Negeri kepada pihak luar, sedangkan tanah itu milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

302
Kongsi :
Previous post LEBIH TUJUH JUTA RAKYAT MALAYSIA SERTAI KOPERASI TAHUN LALU
Next post 71 PROGRAM MERIAHKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1446H
Ubah saiz-+=