
Mohd Ridhwan selesai mengundi
BUKIT KATIL 19 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi P137 Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Demang Hussin, Bukit Katil kira-kira jam 9.17 pagi tadi.
Terdahulu, beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Bukit Katil tiba di pusat mengundi berkenaan pada jam 8.50 pagi bersama isteri, Datin Dr Nur Azieha Mohd Ali dengan memakai baju berwarna biru sedondon.

Turut mengundi adik perempuan Mohd Ridhwan, Wan Nadzirah Mohd Ali bersama suami Nor Azri Othman.
Beliau sempat melambai mesra kepada pengundi yang hadir ke pusat pengundian itu sebelum melaksanakan tanggungjawabnya mengundi bagi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya.
Beliau mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengundi sebelum menuju ke pusat-pusat pengundian lain di Parlimen Hang Tuah Jaya bagi memberikan sokongan kepada pengundi menunaikan kewajipan.
Untuk rekod, Parlimen Hang Tuah Jaya yang mempunyai seramai 118,493 pengundi bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mohd Ridhwan yang juga calon nombor tiga, bakal ditentang calon dari Pakatan Harapan (PH), Adam Ali Abd Halim, calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Azrudin Md Idris dan calon Pejuang, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.