Mohd Ridhwan harap anak rantau pulang tunai kewajipan
HANG TUAH JAYA 18 November – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berharap pengundi yang tinggal di luar Melaka dapat pulang menunaikan tanggungjawab, Sabtu ini.
Menurutnya, jika pengundi Hang Tuah Jaya mahukan perubahan serta sebuah kepimpinan berwibawa yang bersih dan integriti, pengundi perlu menjalankan tanggungjawab memilih pemimpin yang dirasakan layak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
“Berbaki kurang dari 24 jam, masa berkempen akan tamat, saya telah jumpa hampir 90 peratus pengundi dalam kawasan Parlimen ini dan alhamdulillah rata-ratanya memberi reaksi positif.
“Di kesempatan ini juga, saya menyeru untuk pengundi-pengundi Parlimen ini yang bekerja di luar kawasan mahupun luar negeri, untuk pulang dan menjalankan tanggungjawab memilih pemimpin yang berwibawa untuk membawa suara jelata didengari.
“Diharapkan pada hari mengundi nanti, pilihlah calon anak tempatan yang lebih mengetahui apa diperlukan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi walkabout di sekitar Kampung Balik Bukit, di sini, semalam.
Mohd Ridhwan turut memaklumkan akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan Demang Hussin, Bukit Katil pada pagi Sabtu ini.
Parlimen Hang Tuah Jaya bakal menyaksikan persaingan empat penjuru di antara Mohd Ridhwan bersaing dengan calon Pakatan Harapan (PH), Adam Ali Abd Halim, calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Azrudin Md Idris dan calon Pejuang, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.
Untuk rekod, Parlimen Hang Tuah Jaya merekodkan seramai 118,493 pengundi berdaftar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.