Sorting by

×

‘Mohd Akif Asyraf masih belum sedar, tolong doakan dia’

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

TANJUNG BIDARA 5 Mei. – Pasangan suami isteri yang anak sulung mereka cedera parah selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok, merayu orang ramai mendoakan kesejahteraan anak mereka.

Ini kerana sejak menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya di Hospital Seremban, Negeri Sembilan semalam, Mohd Akif Asyraf Muhammad Rasidi, 6, masih belum sedar sepenuhnya.

Muhammad Rasidi Abu Bakar, 40, berkata beliau dan isteri, Fatin Hanisah Mohd Puad amat bersyukur jika orang ramai membantu mendoakan anak mereka.

MUHAMMAD Rasidi menunjukkan gambar anak sulungnya, Mohd Akif Asyraf yang cedera akibat dihempap pokok di Hutan Simpan Masjid Tanah.

“Saya yakin dengan doa insan prihatin, insya-Allah dia akan sedar semula walaupun masih menanggung kesakitan di kepala,” katanya.

Peniaga air tauhu itu berkata, sejak dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seremban, anak sulungnya itu belum mampu membuka mata selepas menjalani pembedahan itu.

Katanya, doktor pakar berkaitan saraf kepala memberitahunya, anaknya mengalami pendarahan beku agak serius akibat dihempap pokok besar pada petang Ahad lalu.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana dia dan isteri, Fatin Hanisah Mohd Puad, 30, serta dua lagi anak, Arisa dan Afia, masing-masing berusia lima dan tiga tahun terselamat.

“Walaupun anak sulung saya cedera, kami tetap bersyukur kerana ia tidak membabitkan kehilangan nyawa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Kemunting, di sini hari ini.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Rasidi berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah dari Bazar Ramadan Tanjung Minyak Perdana.

Ketika itu dia dan isteri tidak berniaga dan membeli juadah berbuka puasa sebelum bergerak pulang dengan menaiki kereta Proton Wira.

“Kira-kira jam 6.30 petang dalam keadaan hujan renyai, kami tiba di lokasi kejadian di Hutan Simpan Masjid Tanah dan saya amat terkejut apabila secara tiba-tiba pokok di sebelah kiri jalan tumbang dan menghempap bonet kereta,” katanya.

MUHAMMAD Rasidi

Dia berkata, Mohd Akif Asyraf yang duduk di tempat duduk hadapan mengalami kecederaan agak parah di kepala dan dia terpaksa mengeluarkannya melalui cermin hadapan yang sudah pecah kerana pintu tidak boleh dibuka.

“Isteri dan dua anak yang duduk di belakang keluar melalui pintu yang tidak kena hempap,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Akif Asyraf yang bersekolah di Tadika PASTI al-Jali, Sungai Tuang, di sini dibawa ke Hospital Kem Terendak, Sungai Udang sebelum dipindahkan ke Hospital Seremban.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Rasidi di talian 017-2352056 atau menghulurkannya melalui akaun Maybanknya (1541 0110 8107).

 

BERITA BERKAITAN:Lima sekeluarga cedera kereta dihempap pokok tumbang

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

962
Kongsi :
Previous post Tiga kanak-kanak, seorang guru maut ditikam remaja di Selatan Brazil
Next post Ambil cuti petanda ‘cuti’ selamanya
Ubah saiz-+=