MOHAMAD RUSLI DILANTIK KETUA POLIS DAERAH JASIN BAHARU
JASIN 28 Disember – Bekas Superintendan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Pencegahan Gangsterism, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Superintendan Mohamad Rusli Mat, dilantik Ketua Polis Daerah Jasin Yang baharu berkuatkuasa pada 27 Disember 2024.
Mohamad Rusli menggantikan Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi yang kini menjawat jawatan Pegawai Turus Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di IPK Melaka.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, disaksikan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah.
Berkhidmat hampir 31 tahun, Mohamad Rusli yang sebelum ini menjawat beberapa jawatan antaranya Superintendan Pengawasan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) JSJ Bukit Aman; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ketua Polis Daerah Machang, Kelantan kini diberi kepercayaan menerajui IPD Jasin.
Mohamad Rusli merupakan penyandang pertama jawatan Ketua Polis Daerah Jasin berpangkat Superintendan selepas IPD Jasin yang sebelum ini Kategori C dinaik taraf kepada Kategori B.
Manakala, jawatan Timbalan Ketua Polis yang pertama kali diwujudkan pula disandang oleh Deputi Superintendan Nor Azlinda Nordin.
Pada majlis itu, turut berlangsung serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Jasin antara Khairuneesya Dolfatah dan Dr. Noor Azian Md Yusuf.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.