‘Moga ada sinar buat adik Izz Rizqy’

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

ALAI 26 Mei – Ibu bapa mana yang tidak sedih apabila anak comel yang dilahirkan dalam keadaan normal kini terlantar apabila disahkan menghidap penyakit yang boleh membawa maut.

Anak mereka Muhammad Izz Rizqy Nor Muhammad yang baru berusia lapan bulan disahkan menghidap ‘hidrosefalus’ penyakit penumpuan cairan di rongga otak sehingga meningkatkan tekanan pada otak dan pembengkakan di kepala selepas sebulan dilahirkan.

Ibunya Nurizza Syamiera Osnain, 23, berkata, anaknya itu lahir seperti kanak-kanak yang lain walaupun hanya dengan berat 900 gram pada usia kandungan 27 minggu pada 2018.

NURIZZA Syamiera menunjukkan gambar Izz Rizqy sewaktu lahir.

“Izz lahir tak cukup bulan tapi saya bersalin normal dan masa lahir tiada masalah. Sebulan dalam ‘nursery’ baru doktor dapat kesan, kena buat CT Scan dan selepas itu baru nampak ada selaput putih dekat otak bahagian depan yang menyatakan dia (Izz) tidak normal.

“Ada cecair sikit dalam kepala sebelum doktor rujuk dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL). Selepas itu baru barulah HKL suruh buat pembedahan masukkan tiub (dipanggil shunt) sebab air dalam otak sudah terlampau banyak.

“Doktor ada beritahu mungkin sebab anak lahir pramatang maka dia alami sakit ini,” katanya ketika ditemui MHI di rumahnya di Taman Alai Perdana, hari ini.

NURIZZA Syamiera, suami dan anak-anaknya.

Nurizza Syamiera berkata, dia dan suami Nor Muhammad Khalil,24, terkejut terima berita itu namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Menurutnya, anaknya sudah dua kali menjalani pembedahan untuk memasukan tiub di kepala sehingga atas pusat.

“Pembedahan pertama pada Januari lalu dan kedua awal bulan lalu. Mungkin akan ada lagi pembedahan selepas ini dan doktor akan lihat dulu tiub ini sesuai atau tidak dengan Izz.

“Kalau tidak sesuai dan tiub bocor baru kena buat pembedahan lain yang memerlukan kos sekitar RM50,000.

“Dua pembedahan sebelum ini percuma, tapi pembedahan ketiga ini ada risiko seperti jangkitan kuman dan lain-lain,” katanya yang turut mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun.

NURIZZA Syamiera menunjukkan buku pemeriksaan kesihatan Izz Rizqy.

Nurizza Syamiera berkata, Izz Rizqy menghadapi masalah sukar untuk tidur lena dan kerap terjaga pada waktu pagi.

“Izz minum susu ‘Similac’ rumusan khas, tidur kadang-kadang meragam tidak lena dan suka keraskan kaki…jadi bila hendak pakaikan pampers agak susah.

“Waktu minum susu pula tiga jam sekali sebanyak empat auns…jika tak ikut waktu dia, dia akan muntah semula susu.

“Pernah doktor beritahu masa di hospital Izz kena sawan sampai lima kali sehari sebab itu sekarang kena makan ubat sawan,” katanya.

Dia yang juga suri rumah berkata, keluarganya hanya bergantung kepada suami yang bekerja di restoran makanan segera dan terpaksa berjimat cermat untuk perbelanjaan keluarga.

“Kos untuk lampin pakai buang dan susu Izz sebulan RM500, termasuk anak sulung saya setiap bulan perlu sediakan RM800, suami pula hanya bekerja di restoran makanan segera.

“Kami berharap Izz dapat menjalani kehidupan harian seperti kanak-kanak lain dan sentiasa berdoa dia cepat sembuh,” katanya yang berkahwin pada 2018.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nurizza Syamiera di talian 018-323 8550 atau akaun Maybank: 154080172894.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

472
Kongsi :
Previous post Tuan tanah dikompaun RM50,000, jalan kerja tanah tanpa kebenaran PBT
Next post MOT kaji, teliti punca kemalangan dua tren LRT
Ubah saiz-+=