MOF pertimbang bentang RUU Tanggungjawab Fiskal pada sesi Parlimen akan datang: Tengku Fazrul

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kementerian Kewangan (MOF) bercadang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal pada sesi parlimen akan datang, yang dijadualkan bermula pada 18 Julai.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata RUU itu melibatkan usaha untuk memperluas asas cukai negara, termasuk mengenakan cukai kepada ekonomi bayangan, serta meningkatkan pematuhan dan pentadbiran cukai ke arah membantu mendorong kutipan cukai.

“Ini adalah penting untuk menambahkan lagi tabung negara bagi menyokong agenda pembaharuan pembangunan dan jangka panjang kita,” katanya dalam ucap tama pada Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia 2022 (Persidangan MIA 2022) secara maya, di sini, hari ini.

Mengenai usaha kerajaan untuk menyokong aspirasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara ke arah mencapai daya tahan iklim dan sosioekonomi, Tengku Zafrul berkata tiga strategi utama telah diberikan keutamaan untuk memacu pembangunan negara yang lestari.

Beliau berkata, yang pertama adalah untuk memperkukuh pembiayaan berkaitan kemampanan, bagi melengkapi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menyelaraskan inisiatif dan program yang menerapkan elemen ESG, yang akan membantu menjadikan Malaysia sebagai hab pembiayaan mampan.

“Antara usaha kami termasuk: pada peringkat kementerian dan negara, menerusi bajet tahunan, MOF telah meletakkan semua program dan projek di bawah perbelanjaan pembangunan kepada SDG,” katanya sambil memaklumkan tidak banyak negara yang peka bahawa Malaysia adalah antara 10 negara di dunia yang telah menjadikan pendekatan bajet negara yang dijajarkan sepenuhnya dengan SDG.

Tengku Zafrul berkata strategi kedua adalah membangunkan kapasiti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai satu daripada blok pembangunan utama untuk mencapai aspirasi ESG Malaysia dan matlamat karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Melalui Prinsip Tadbir Urus yang Baik (PGG) yang dilancarkan baru-baru ini untuk dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan, kami menyasarkan untuk memangkin penggunaan prinsip ESG dalam kalangan PKS,” katanya.

Beliau berkata, strategi ketiga adalah penubuhan Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Dana Amanah MySDG) oleh kerajaan, melalui MOF dan dengan kerjasama PBB di Malaysia.

Tengku Zafrul berkata Malaysia terus membolehkan pelaksanaan projek dan program pembangunan yang menumpukan ESG di bawah kenyataan pra-bajet Bajet 2023 yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Kami telah menggariskan beberapa keutamaan termasuk peralihan strategik Malaysia dari fasa pemulihan semasa kepada pembaharuan jangka panjang.

“Ini termasuk memudahkan peluang pendapatan yang lebih baik dan meningkatkan kesejahteraan holistik bagi mencapai visi pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif dan mampan demi Keluarga Malaysia,” katanya.

Bertemakan, “Leading ESG, Charting Sustainability”, Persidangan MIA 2022 secara maya selama dua hari menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran akauntan dengan kecekapan yang relevan pada masa depan untuk meneraju dan menyokong kemampanan perniagaan dalam landskap risiko berkaitan iklim dan tadbir urus yang lemah dan mengancam keseimbangan kemanusiaan dan planet.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

937
Kongsi :
Previous post Larangan tukar parti: Draf RUU muktamad, dicadang dibentang pada Mesyuarat Khas Parlimen
Next post Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka ke Dumai rancakkan semula sektor pelancongan
Ubah saiz-+=