MoF akan umum penyata pra-Belanjawan 2022 dalam masa terdekat

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

PULAU CAREY 30 Ogos – Kementerian Kewangan (MoF) akan mengumumkan Penyata Pra-Belanjawan 2022 buat kali pertama dalam masa terdekat untuk merangka kriteria perbelanjaan negara sebagai persiapan untuk pembentangan Belanjawan 2022 yang dijangka pada akhir Oktober ini.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan menerajui semula kementerian tersebut dan mengangkat sumpah jawatan itu hari ini berkata, MoF akan menjemput semua pihak berkepentingan untuk memberikan input masing-masing.

“Ini adalah belanjawan yang amat penting dan ia bukan sahaja dari segi bantuan tetapi dari segi panduan kepada ekonomi Malaysia untuk kembali pulih.

“Kami akan merangka beberapa kriteria, (dan) salah satunya ialah kebajikan. Jemputan akan dikeluarkan secepat mungkin. Insya-Allah dalam minggu ini, jika boleh, apabila saya mula bekerja esok,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli Mah Meri, di sini semalam.

TENGKU ZAFRUL beramah mesra dengan penduduk Orang Asli Mah Meri ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan,semalam. Foto – FB Tengku Zafrul.

Tengku Zafrul berkata, MoF akan terus berjumpa dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan semua pemegang taruh dan juga dari pelbagai pihak, termasuk pembangkang untuk menggariskan bantuan kepada rakyat dan mendapatkan pandangan dari pelbagai sudut bagi membentangkan Belanjawan 2022 yang lebih inklusif untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata selain Belanjawan 2022, kerajaan akan turut membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 di Parlimen.

Mengenai pencapaian 100 hari yang ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, katanya fokus beliau buat masa ini ialah menjaga kesejahteraan, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.

“Seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan apabila setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

“Kami di MoF, menyambut baik inisiatif ini. Penetapan indeks prestasi utama (KPI) ini bagus kerana ia membolehkan semua kementerian, terutamanya MoF dan rakyat mengukur penyampaian atau pencapaian kerajaan supaya kita dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang memerlukan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata MoF sebelum ini mengumumkan pencapaian setiap minggu dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) kerana mahu kerajaan lebih telus dan MoF telah menzahirkan 65 laporan LAKSANA sejak tahun lalu.

Mengenai sama ada dasar-dasar kerajaan terdahulu akan diteruskan, Tengku Zafrul berkata dasar yang baik akan diteruskan tetapi pada masa sama mengambil kira perkembangan dunia semasa dan ekonomi Malaysia yang mempunyai ciri-ciri yang dinamik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai meninggal dunia
Next post Sulaiman terima kunjungan SUK baharu Melaka
Ubah saiz-+=