Modal perniagaan RM285,000 lesap diperdaya

Masa Membaca:57 Saat

ALOR GAJAH 9 Julai – Tiga sekeluarga berputih mata apabila kerugian lebih RM280,000 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud April lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata,  ketiga-tiga mereka iaitu peniaga kelapa sawit, isteri dan adiknya tertarik untuk menyertai pelaburan itu selepas melihat tawaran pulangan sebanyak 20 peratus setiap minggu.

Katanya, kejadian berlaku pada 24 April lalu selepas mereka melihat iklan di Facebook sebelum pengadu berusia 46 tahun itu berhubung dengan suspek dikenali sebagai Annie menerusi Whatsapp.

“Susulan itu pengadu kemudian membuat pembayaran secara berperingkat membabitkan jumlah keseluruhan RM285,000 ke tiga akaun bank berlainan.

“Lelaki itu juga memaklumkan dia terpedaya apabila melihat keuntungan sebanyak 20 peratus diperoleh pada minggu pertama selepas mendaftar masuk ke laman web suspek,” katanya.

Menurut beliau, tidak lama selepas itu pengadu menyedari laman web itu sudah tidak boleh diaksesnya.

“Walaupun pembayaran sudah dibuat namun pengadu bersama isteri dan adiknya tidak mendapat keuntungan yang dijanjikan oleh Annie.

“Sebaliknya wang yang ingin digunakan sebagai modal perniagaan lesap sebelum dia tampil membuat laporan polis memaklumkan kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

939
Kongsi :
Previous post Polis serbu ‘port mat rempit’, lima ditahan
Next post Dua pelajar senior kes buli rakam keterangan
Ubah saiz-+=