Sorting by

×

MMU dilantik jalankan penyelidikan berkaitan undang-undang antibuli siber

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

CYBERJAYA 3 Julai – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melantik Universiti Multimedia (MMU) untuk menjalankan penyelidikan berkaitan undang-undang antibuli siber, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata penyelidikan yang akan disiapkan dalam tempoh enam bulan itu perlu kerana mutakhir ini kes buli siber meningkat di Malaysia hingga mengakibatkan kes bunuh diri.

“Buli siber adalah satu jenayah yang mesti ditangani dengan segera. Pada masa ini, Malaysia ada undang-undang berkaitan dunia siber tetapi tidak ada akta yang khusus tentang buli siber,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke MMU di sini hari ini.

Saifuddin berkata penyelidikan MMU akan melibatkan kajian sama ada Malaysia memerlukan akta yang khusus berkaitan buli siber sebagaimana yang dilaksanakan di Singapura, Filipina dan beberapa negara maju, serta melihat pelaksanaan undang-undang anti-siber di negara lain.

Beliau berkata ia akan melibatkan konsultasi dengan pihak berkepentingan termasuk Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, CyberSecurity Malaysia dan Majlis Peguam.

“Selepas enam bulan jika semua pihak yakin negara memerlukan undang-undang antibuli siber maka  kandungan, jenis kesalahan dan jenis hukuman yang akan terkandung dalam akta itu akan diperincikan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata dalam perbincangan bersama MMU hari ini, KKMM dan MMU bersetuju untuk bekerjasama melaksanakan kempen literasi pengguna media digital bagi menggalakkan warga net di Malaysia menggunakan peranti dengan beretika dan mempunyai kesedaran tentang hak masing-masing.

Ditanya mengenai pengiklanan dalam talian, Saifuddin berkata KKMM sedang mengkaji kemungkinan mengenakan caj pengiklanan ke atas Google dan Facebook kerana tindakan itu mengakibatkan kerugian dari segi iklan.

“Sudah ada negara yang mula mengorak langkah untuk mengenakan caj seumpama itu,” katanya.

Pada majlis hari ini sempena lawatannya, Saifuddin turut menyampaikan amanat secara live streaming kepada 1,250 penuntut baharu MMU yang mendaftar pada 29 Jun termasuk 65 pelajar antarabangsa yang berada di 60 buah negara.

Dalam amanatnya, Saifuddin menasihatkan para pelajar baharu untuk menikmati alam belajar mereka walaupun dalam suasana berbeza dengan langkah pencegahan COVID-19 dan menimba ilmu sebanyak mungkin.

– BERNAMA

Views:

475
Kongsi :
Previous post SPRM ambil keterangan beberapa kakitangan KOMTAR
Next post Hikmah PKPP buat surau ‘kerdil’ Melaka Perdana Resort Homes
Ubah saiz-+=