
MMC LANCAR ‘HEALTH & LEISURE CARD’ PERTAMA DI MALAYSIA
BANDAR HILIR 21 April – Bagi menarik lebih ramai pesakit domestik dan antarabangsa Mahkota Medical Centre (MMC) mengambil inisiatif melancarkan ‘Health & Leisure Card’.
Menariknya, konsep Health & Leisure Card merupakan yang pertama di Malaysia dengan pesakit antarabangsa akan menikmati beberapa kelebihan seperti diskaun kos rawatan, malah kad tersebut boleh digunapakai di setiap premis yang mempunyai kerjasama dengan MMC.
Ketua Pemasaran Antarabangsa MMC, Quek Choon Yen berkata, ianya adalah antara inisiatif pihaknya bagi menarik lebih ramai pesakit dari luar negara untuk mendapatkan rawatan di MMC.
“Menerusi Health & Leisure Card, ia akan memberikan kelebihan kepada pesakit dari luar negara yang mendapatkan rawatan di MMC daripada segi diskaun kos rawatan serta boleh digunapakai di setiap premis yang mempunyai kerjasama dengan MMC.
“Memandangkan kami terpaksa bersaing dengan banyak pusat perubatan seluruh Malaysia, Health & Leisure Card adalah inisiatif kami bagi capai sasaran yang telah ditetapkan dan sudah tentu, kami perlu tampil dengan idea yang tebih ‘ekstra’ serta lebih terkehadapan,” katanya.
Choon Yen berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas Majlis Perasmian Eksklusif Health & Leisure Card and International Patient Centre di lobi utama MMC, di sini, pada Jumaat.
Majlis itu disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Teo Chin Yee.

Mengulas lanjut Choon Yen berkata, pihaknya juga giat merancang mempromosikan mengenai kelebihan Health & Leisure Card dan berharap lebih banyak pemain industri pelancongan dapat jalin kerjasama dengan MMC.
“Gerak kerja pemasaran sedang giat dijalankan dan sudah tentu besar harapan kami untuk melihat jumlah pesakit antarabangsa yang baharu akan terus meningkat.
“Apa yang penting, setiap kali pihak kami lakukan promosi, sudah tentu pihak kami siap-siaga membawa serta memperkenalkan rakan kongsi kami dengan setiap pesakit antarabangsa yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Choon Yen menambah, MMC juga sediakan perkhidmatan International Patient Centre yang khusus untuk pesakit dari luar negara.
“International Patient Centre adalah perkhidmatan tambahan untuk pesakit dari luar negara yang mana perkhidmatan ini akan membimbing mereka dari segi garis panduan tempat penginapan, pengangkutan awam serta berkaitan informasi pelancongan.
“Ada di kalangan pesakit ini, selepas mereka dapatkan rawatan, ada di antara mereka yang mahu menginap di mana-mana hotel mahupun homestay dan melancong di sekitar Melaka.
“Malah, bagi urusan visa juga kami sediakan bagi memudahkan perjalanan mereka ke sini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.