Sorting by

×

MLTA mohon peruntukan pembangunan sukan tenis Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Persatuan Lawn Tenis Melaka (MLTA) meminta Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan peruntukan pembangunan bagi sukan tenis di negeri ini.

Presidennya, Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim berkata, peruntukan itu diharap mampu memudahkan urusan pentadbiran sukan tersebut.

“Peruntukan daripada kerajaan melalui MSN ini amat penting supaya sukan tenis dapat dibangunkan sebelum mencapai prestasi membanggakan Negeri Melaka.

“Bagi menyokong pembangunan sukan tenis ini, MLTA juga meminta Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) selaku pemilik Kompleks Tenis dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyegerakan projek menaik taraf kemudahan yang ada di sini.

“Ini bagi mempersiapkan ia sebagai venue (lokasi) penganjuran kejohanan tenis peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Tenis Antarabangsa Asian (ATF) 14&U di Kompleks Tenis Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Muhammad Shahrul Hafidz berkata, peruntukan itu mampu merancakkan lagi pembangunan sukan tenis di Negeri Melaka.

“Saya yakin inisiatif ini juga dapat menyokong sektor pelancongan Negeri Melaka, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi tempatan lebih mampan,” katanya.

Katanya lagi, MLTA juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menjalankan program pembangunan tenis akar umbi melibatkan murid tahun satu dan dua.

“Program ini melibatkan beberapa sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, SK Batu Berendam 2, SK Bertam Hulu, SK Paya Rumput, SK Dato’ Demang Hussin, SK Taman Merdeka, SK Bukit Beruang dan SK Tun Syed Ahmad Shahabuddin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1631
Kongsi :
Previous post Kemiskinan tegar perlu dinoktahkan tahun ini – PM
Next post Melaka AgroFest dimasukkan dalam kalender TMM2024
Ubah saiz-+=