MKN, MPAG rancang pindahkan peniaga pasar tani ke kawasan lebih luas

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

ALOR GAJAH 14 Feb. – Masih ada peniaga dan masyarakat dilihat leka dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ditetapkan terutama ketika di pasar tani.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Pasar Tani Alor Gajah hari ini mendapati tiada penjarakan fizikal antara peniaga malah pengunjung dilihat bersesak membeli barangan basah seperti daging dan ikan.

Bagi mengatasi perkara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta beberapa agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) akan memindahkan sebilangan peniaga ke kawasan lebih luas.

Tiada penjarakan fizikal antara peniaga dan pengunjung di Pasar Tani Alor Gajah.Menurut Pengarah MKN negeri, Mohd Nasrul Menhat, terdapat beberapa pelanggaran SOP terutamanya membabitkan penjarakan fizikal antara peniaga serta keengganan pengunjung memasuki pasar berkenaan mengikut laluan ditetapkan.

“Perancangan untuk susun atur peniaga dijangka akan diperincikan pada Selasa atau Rabu ini supaya ada pengasingan antara peniaga.

“Di samping itu, kawalan keluar masuk ke pasar berkenaan akan diperketatkan bagi mengelakkan masyarakat memasuki pasar sewenang-wenangnya.

“Yang ketiganya, penguat kuasa MPAG dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rondaan lebih kerap di pasar ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengamalkan norma baharu sekali gus mematuhi SOP ditetapkan,” katanya kepada MHI selepas membuat tinjauan dan pemantauan di pasar berkenaan.

Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan

Turut hadir, Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan dan Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar.

Sementara itu, Mohd Fadhil berkata, pihaknya akan berbincang dengan penganjur dan FAMA Rabu ini bagi memindahkan sebahagian peniaga ke kawasan lebih luas.

“Di kawasan tersebut, susun atur (peniaga) akan dibuat semula untuk memastikan ada penjarakan antara peniaga serta pengunjung keluar dan masuk.

“Sekarang ini kita lihat pengunjung masih degil tidak masuk ke kawasan pasar mengikut pintu dikhaskan meskipun tali rentang sudah dipasang,” katanya.

Views:

776
Kongsi :
Previous post 10 termasuk penjawat awam ditahan berparti liar
Next post Pemilik kedai pakaian diingatkan sedia sarung tangan pelanggan- KPDNHEP
Ubah saiz-+=