Sorting by

×

MKN benarkan pelajar tempatan kembali ke kampus mulai 1 Mac 2021

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 31 Dis. – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) 23 Disember lalu meluluskan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membenarkan pelajar tempatan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac 2021.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, bagi pelajar dari Zon Merah kemasukan adalah 10 hari lebih awal untuk menjalani proses pengasingan demi memastikan mereka bebas COVID-19.

“Sementara itu, bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang digunapakai kerajaan negeri masing-masing.

“MKN juga meluluskan cadangan KPT membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di IPTA dan IPTS kecuali dari United Kingdom seawal 1 Januari 2021,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurut Noraini, bagaimanapun pelajar antarabangsa perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus.

“Keputusan membenarkan kemasukan pelajar ke IPT secara fizikal bagi membolehkan pelajar tempatan dan antarabangsa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara bersemuka dan dalam talian.

“Keputusan ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin,” katanya.

Katanya, kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Selain mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti memakai pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal.

“Para pelajar boleh hubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6623/6124, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT,” katanya.

Views:

2122
Kongsi :
Previous post COVID-19: Catat 2,525 kes baharu, jumlah harian tertinggi jadi khabar duka penutup 2020
Next post Melaka sambut ambang tahun baharu 2021 penuh kesyukuran
Ubah saiz-+=