MITI cadang buka 3 PPV PIKAS di Melaka
BUKIT KATIL 25 Julai – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bakal menambah tiga lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Melaka.
Timbalan Menterinya, Datuk Lim Ban Hong berkata, tiga PPV PIKAS dicadangkan itu membabitkan satu PPV PIKAS Di Tapak (on-site) dan dua PPV PIKAS Penggunaan Umum.
Menurutnya, pertambahan kerjasama antara pihak awam dan swasta itu mampu mempercepatkan proses vaksinasi kepada penggiat sektor industri di negeri ini.
“PPV PIKAS jenis umum ini bukan untuk satu syarikat saja, tapi dijadikan lokasi PPV untuk kesemua syarikat berdaftar dan berkapasiti hingga 10,000 dos suntikan vaksin.
“Bagi PPV PIKAS ‘on-site’ pula ditempatkan di sebuah syarikat berdaftar yang mempunyai lebih 1,000 pekerja sekali gus mengurangkan pergerakan pekerja dari menumpukan ke PPV PIKAS jenis ‘Common’.
“Bagi jenis ‘on-site’ di Melaka yang berjalan adalah seperti di Kilang TEXAS Instrument dan Infineon Technology saja,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Bayou Convention Centre, di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyertai lawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di pusat itu.
Menurutnya, setakat ini 12 PPV PIKAS Penggunaan Umum dan 22 PPV PIKAS Di Tapak sahaja beroperasi di seluruh negara.
“PPV di Bayou Convention Centre yang dijadual beroperasi esok adalah PPV PIKAS Penggunaan Umum pertama di negeri ini yang dijangka mampu menampung sehingga 15,000 pemberian vaksin,” katanya.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abdul Rahman dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Nasrul Menhat.
Mengulas lanjut, Ban Hong berkata, setakat semalam 17,053 syarikat di seluruh negara telah berdaftar bagi menerima suntikan vaksin dalam program yang dijalankan itu.
Menurutnya, daripada jumlah itu kira-kira 1.3 juta pekerja akan menerima suntikan vaksin dan setakat ini seramai 28,596 pekerja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin program terbabit.
“Di Melaka, kementerian menyasarkan sebanyak 1,500 suntikan mampu diagihkan sehari di PPV PIKAS Bayou Convention Centre dan akan memberi manfaat buat 70,952 pekerja dari 613 syarikat yang berdaftar di negeri ini.
“Kita juga menyasarkan tambahan sebanyak 35,000 vaksin akan diagihkan di Melaka bagi mempercepatkan proses dan kadar vaksinasi di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.