Misteri kehilangan tujuh ayam terjawab

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TANJUNG BIDARA 26 Feb – Misteri kehilangan tujuh ibu ayam kampung bernilai RM2,800 terjawab apabila penternaknya terserempak dengan seekor ular sawa sepanjang tiga meter di rebannya hari ini.

Mohd Zaki Ibrahim, 38, menarik nafas lega selepas teka-teki punca kerugian itu terungkai apabila dia ternampak reptilia berkenaan di rebannya di Kampung Londang, di sini hari ini.

“Telahan saya benar apabila ternampak seekor ular sawa sedang berlingkar dalam reban selepas menelan seekor ibu ayam yang bernilai RM40 pada jam 11.30 pagi ini.

“Saya cuba menangkapnya tetapi haiwan itu agak agresif dan menyebabkan saya terpaksa meminta bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Cawangan Masjid Tanah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Dia berkata, seekor ibu ayam bernilai tidak kurang daripada RM40 dan ular sawa yang terkenal dengan daya belitan amat kuat pernah menelan beberapa ayamnya ketika dia memulakan industri penternakan ayam kampung pada Ogos 2020.

Bagaimanapun, haiwan liar itu berjaya ditangkapnya dengan bantuan beberapa rakan tetapi kali ini dia tidak mampu berbuat demikian kerana haiwan terbabit lebih agresif berbanding yang sebelum ini.

“Walaupun ia sudah kekenyangan selepas menelan ibu ayam, ia masih agresif kerana mungkin sudah lama menelan mangsanya dan hampir hadam,” katanya.

Dia berkata, reptilia ganas itu dipercayai menyelinap masuk ke dalam reban yang dipenuhi 400 ayam kampung sebelum menelan seekor daripadanya, malam tadi.

Sehubungan itu, dia akan berusaha mencari lubang pada reban dan menutupnya bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Sementara itu, tiga anggota APM Cawangan Masjid Tanah berjaya menangkap haiwan berkenaan hanya dalam tempoh kurang lima minit sebelum memasukkannya ke dalam guni.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1352
Kongsi :
Previous post Petugas media dinasihati patuhi SOP PRN Johor
Next post PRN Johor: Lapan calon berusia bawah 30 tahun
Ubah saiz-+=