Misteri bil air rendah terjawab, chalet peranginan terima notis
PANTAI KUNDOR 12 Oktober – Misteri penggunaan air yang rendah membabitkan sebuah chalet peranginan di Pantai Puteri terjawab apabila Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) menemui bukti berlakunya penyambungan haram.
Kesalahan itu dikesan menerusi operasi Kempen Kesedaran dan Pemeriksaan Secara Rawak ke atas premis industri dan komersial yang dijalankan SPAN bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di sekitar lokasi tumpuan pelancongan, hari ini.
Menurut Pengarah Penguatkuasaan SPAN Ainal Yusman Mohamad Yusop, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) selepas dipercayai melakukan penyambungan air secara tidak sah pada meter.
Ujarnya, pemeriksaan secara rambang itu dilakukan selepas didapati rekod bil air di premis berkenaan agak rendah, meskipun dilihat penggunaan airnya tinggi.
“Jadi dari situ kami mengesyaki terdapat penggunaan air secara tidak sah dan pemeriksaan ini telah mengesahkan memang benar terdapat sambungan haram pada meter.
“Nilai kerugian belum dapat dipastikan oleh pihak SAMB, namun mereka akan membuat kiraan sebelum membuat tuntutan kepada pemilik premis.
“Pada masa sama, pemilik premis juga telah diberikan notis di bawah Seksyen 123(1) dan sitaan barang kes, selain kertas siasatan juga akan dibuka dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ainal Yusman berkata, setakat tahun ini, sebanyak tiga premis telah dikesan melakukan penyambungan tidak sah di negeri ini.
Ujarnya, pemeriksaan secara berkala itu bukan sahaja tertumpu di kawasan pelancongan, bahkan turut melibatkan premis yang menggunakan air secara banyak seperti kawasan komersial, industri dan tapak pembinaan.
“Objektif kita bukan sahaja untuk mengesan penggunaan air secara tidak sah, bahkan kita juga mahu mengurangkan masalah Air Tidak Terhasil (NRW) memandangkan Melaka pernah menjadi antara negeri yang pernah mengalami krisis air.
“Peningkatan NRW ini antara lain disumbangkan daripada penggunaan air secara tidak sah, paip bocor dan penggunaan produk tidak cekap air, jadi kerjasama dan maklumat orang ramai sangat diperlukan.
“Pada masa sama, kita juga mencadangkan kepada premis yang mempunyai banyak lot atau bangunan untuk menyepadukan meter mereka di bawah satu akaun yang merupakan amalan terbaik dan memudahkan setiap pemilik premis,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.