Sorting by

×

Misteri mayat di sisi dua beg

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 13 Jan. – Satu mayat lelaki tidak berpakaian lengkap ditemukan dalam sebuah rumah kosong di Taman Kuala Permai, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu dalam kenyataannya hari ini berkata, laporan kejadian diterima kira-kira 9.45 pagi daripada pemilik rumah berkenaan.

Menurutnya siasatan awal tempat kejadian mendapati, rumah teres berkenaan sudah tidak berpenghuni sejak 16 tahun lalu namun pemiliknya datang ke rumah berkenaan semalam untuk mengemasnya.

“Semasa sedang mengemas pengadu tidak menghidu sebarang bau busuk, bagaimanapun ketika memasuki bilik ke dua, dia terkejut apabila menemukan satu mayat lelaki tidak berpakaian lengkap dalam keadaan terlentang.

“Pemeriksaan oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bagaimanapun mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mayat dipercayai lelaki Melayu berusia lingkungan 30-an itu juga sudah hampir reput dan turut ditemukan adalah dua buah beg serta pakaian disisi mayat,” katanya.

Arshad berkata, mayat kemudian telah dibawa ke Hospital Melaka untuk tindakan siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut(SDR).

“Setakat ini, terdapat keluarga si mati yang mendakwa mengecam si mati namun kaedah ujian DNA (asid deoksiribonukleik) perlu dilakukan untuk pengesahan,” katanya.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Views:

1339
Kongsi :
Previous post Gempa bumi di Irian Jaya, Indonesia
Next post The Andaman Resort Langkawi terbakar, api masih marak
Ubah saiz-+=