Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka ke Dumai rancakkan semula sektor pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

Program Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka ke Dumai mampu merancakkan semula sektor pelancongan termasuk memperkenalkan pakej pelancongan baharu dan pelancongan perubatan ke negara jiran.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menerusi hantaran Facebook rasmi miliknya berkata program yang berlangsung selama empat hari itu adalah hasil inisiatif pelbagai agensi bagi meningkatkan ekonomi negeri.

“Saya yakin dan percaya, usaha yang digerakkan menerusi pelbagai agensi termasuk Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) dan Jabatan Ketua Menteri (JKMM) mampu meningkatkan semula ekonomi negeri dalam fasa endemik COVID-19,” katanya.

Hadir sama, EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, EXCO Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman dan EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh serta ; ketua-ketua jabatan negeri Melaka.

Terdahulu, Sulaiman bersama delegasi pelancongan Melaka selamat tiba di Terminal Penumpang Dumai, Indonesia tiba di Dumai pada jam 1.30 petang waktu Malaysia manakala jam 12.30 tengah hari waktu Indonesia.

Setibanya di terminal, delegasi Melaka disambut oleh Konsulat Malaysia di Dumai dan Riau sebelum para delegasi bergerak menaiki bas dan van melalui jalan darat ke Pekanbaru.

Dianggarkan tempoh perjalanan dari Terminal Penumpang Dumai ke Pekanbaru mengambil masa kira-kira dua jam.

Di Pekanbaru para delegasi akan menjalankan misi pelancongan menerusi Festival Semarak Pelancongan Melaka yang diadakan tiga hari di SKA Mall.

Turut difahamkan Sulaiman bersama konsulat Malaysia di Pekanbaru dan 20 delegasi Melaka akan membuat kunjungan hormat dan makan malam bersama Gubernur Provinsi Riau Dr. H Syamsuar serta Walikota Pekanbaru Muflihun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1545
Kongsi :
Previous post MOF pertimbang bentang RUU Tanggungjawab Fiskal pada sesi Parlimen akan datang: Tengku Fazrul
Next post Polis minta mangsa penipuan tempahan rumah inap buat laporan
Ubah saiz-+=