MISDEC perluas pendidikan AI
PENGKALAN BATU 29 Julai – Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawan Melaka (MISDEC) komited membangunkan pendidikan berdasarkan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kebolehpasaran pelatih dalam pelbagai bidang.
Pengerusinya, Ahmad Sazali Sabri berkata, menerusi hasrat itu pihaknya telah menubuhkan ‘Smart Intelligence School’ di pusat itu supaya ia dapat diterapkan dalam kalangan pemain industri pada masa akan datang.
Jelasnya, program berimpak tinggi itu akan diperluaskan dengan kerjasama pelbagai industri dan institusi pendidikan bagi memastikan masa depan anak muda dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat menjamin permintaan industri.
“Menerusi penubuhan ini kita dapat menjamin modal insan anak muda khususnya Negeri Melaka supaya dapat memenuhi permintaan industri dalam pelbagai bidang.
“Pada masa sama, ia dapat membantu setiap industri yang menekankan penggunaan AI sekali gus dapat dikembangkan mengikut peredaran semasa.
“Melihat kerjasama strategik bersama Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan satu sejarah bermakna selepas 25 tahun penubuhan MISDEC yang mana kerjasama ini akan membantu dari sudut infrastruktur dan pembangunan modal insan supaya pendidikan AI dikembangkan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaboras Strategik MISDEC, Infineon Technologies (M) Sdn Bhd dan UKM diadakan di pusat itu di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif MISDEC, Haiqal Syukri Jantan; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Melaka, Jaibalan Harirajan; Naib Presiden Kanan Infineon Technologies (M) Sdn Bhd, Chan Chee Ling dan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman.
Sementara itu, Haiqal berkata, Smart Intelligence School yang ditubuhkan tahun ini akan dikembangkan ke peringkat sekolah supaya mampu menarik lebih ramai pelajar mendekati AI dan TVET.
“Kita juga akan menyarankan lebih banyak pemain industri di Melaka menerusi sokongan MIDA supaya MISDEC sentiasa bersama dengan industri-industri untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang berkemahiran tinggi.
“Jika ia menerima sokongan jitu kita yakin insiatif yang ditubuhkan ini akan terus dikembangkan dengan pelbagai modul-modul baharu yang juga boleh diterapkan di sekolah-sekolah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.