Minyak masak peket RM2, Telur jadi rebutan di Melaka Agro Market
BUKIT KATIL, 28 Januari – Minyak masak peket, telur dan gula habis dijual dalam tempoh dua jam pada program Melaka Agro Market (MAM) dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL), di Tapak Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), di sini, hari ini.
Cuaca mendung disusuli renyai pada sebelah pagi bukan penghalang bagi orang ramai untuk hadir bagi mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Minyak masak peket satu kilogram (kg) ditawarkan pada harga RM2 kepada orang ramai, namun dihadkan kepada kuantiti tertentu sahaja.
Tawaran harga juga diberikan bagi bahan mentah seperti gula sepeket berharga RM2.65 manakala telur gred A dijual RM13.20, gred B RM12.60, gred C RM12 dan telur omega gred A hanya RM15.
Selain tiga barangan asas tersebut, pengunjung yang hadir juga dilihat berpusu-pusu ke gerai jualan sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk memberi sokongan kepada beberapa produk industri kecil sederhana (IKS) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati program anjuran DMDI bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang itu menerima kedatangan pengunjung dari dalam dan luar daerah negeri ini.
Sebanyak 30 gerai jualan disediakan dengan penyertaan lebih 70 usahawan termasuk peniaga ‘foodtruck’ mengambil bahagian memasarkan produk mereka di MAM.
Difahamkan program jualan yang menutup tirainya esok akan menerima kedatangan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam pada jam 9 pagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.