Sorting by

×

Minyak masak paket tiada, terpaksa cari merata tempat – Peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 4 Julai – Isu bekalan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) di negeri ini yang sering terputus, bukan sahaja menimbulkan keresahan pengguna, malah peniaga makanan.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa gerai peniaga mendapati rata-rata mereka meluahkan nada tersebut kerana sukar untuk membeli minyak masak peket bagi perniagaan mereka.

Peniaga kuih cara berlauk, Mohd Khomini Abu Hassan,33, ketika ditemui berkata dia dan isteri terpaksa mencari di merata tempat untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket setiap hari.

“Buat masa ini minyak masak peket di kedai runcit susah nak dapat, cuma ada beberapa peruncit yang besar ada jual tapi tak banyak dijual kadang-kadang sekejap sahaja dah habis.

“Kami untuk niaga memang guna minyak peket kalau nak beli minyak botol tu harga agak mahal, jadi kita memang guna minyak peket yang bersubsidi, cumanya susah nak dapat sekarang ini.

“Setiap hari niaga kami perlukan empat kilogram minyak masak, kadang kalau susah sangat terpaksa beli minyak botol yang mahal, tapi harga makanan kita masih kekalkan supaya pelanggan tidak merajuk,” katanya kepada MHI.

BAHARUDDIN

Seorang lagi, Baharuddin Mohd Ali, 50, tiada pilihan selain meneruskan perniagaannya kerana ia merupakan hasil pendapatan hariannya untuk menyara keluarga.

“Pakcik (sudah ber) niaga dah 15 tahun, minyak masak ada ke tiada kita tiada pilihan terpaksa niaga juga, sebab ini adalah mata pencarian keluarga.

“Bekalan minyak peket memang susah nak dapat, sehari nak guna tak banyak dua kilogram sahaja…kadang tu terpaksa beli minyak botol untuk niaga.

“Setakat ini harga makanan tidak lah mahal, nasi ayam goreng kunyit RM7, mee rojak RM3, rojak buah RM3, saya tak jual mahal-mahal sangat sebab kesiankan pelanggan,” katanya.

HAFIZ

Sementara itu, orang awam Hafiz Ahmad,40, turut terkesan dengan kenaikan barangan yang melanda negara ini.

“Saya rasa terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, harga barang pun meningkat…harapkan kerajaan dapat mengekang segala kenaikan harga barang tersebut.

“Biasa sebulan beli barang dapur dalam RM400, sekarang ini tidak mustahil boleh mencecah RM500 hingga RM600 sebulan.

“Alhamdulillah hari tu saya sempat beli minyak masak botol dengan harga RM28 (lima kilogram), sekarang ini saya lihat sebotol besar tu dah naik sehingga RM40,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1670
Kongsi :
Previous post Pelajar sekolah antara dua maut dalam kemalangan
Next post Tiada kes culik, jual organ kanak-kanak – Bukit Aman
Ubah saiz-+=