Minuman percuma, cara Azizan kumpul ‘saham’ akhirat

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 26 Disember – Cukup bersandarkan kepada kemampuan dirinya Azizan Baharom, 64, menginfakkan minuman percuma kepada orang ramai sebagai cara untuk mencari ‘saham’ akhirat.

Dia yang mula berkongsi rezeki bersama orang ramai sejak awal tahun ini berasa amat gembira dengan apa yang dilakukan dan paling penting Azizan tidak mengharapkan sebarang balasan.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, selepas bersara dia mengisi masa terluang dengan melakukan aktviti kebajikan itu dan tidak pernah mengenakan sebarang caj kepada orang ramai datang mendapatkan minuman.

“Sebenarnya saya berpencen. Bukan apa saya gembira setiap kali melihat orang ramai singgah ke Masjid Selat ini datang ke gerai untuk mendapatkan secawan minuman diberikan percuma.

“Perasaan amat gembira melihat pelawat yang kehausan menghilangkan dahaga selepas menikmati air percuma. Syukur ramai yang mendoakan saya dikurniakan kesihatan yang baik dan pelbagai lagi perkara yang baik-baik,” katanya ketika ditemui di hadapan pintu masuk Masjid Selat, di sini, semalam.

Katanya pada kebiasaan dia membuka gerai minuman percuma itu seawal jam 1.40 petang, sementara itu pada Jumaat dilewatkan ke jam 3, Sabtu 11 pagi atau 2 petang, manakala Ahad bermula jam 2 petang.

photo1671966965
ORANG ramai beratur untuk mendapatkan minuman percuma disediakan Azizan. Foto: MR. AZLI

Azizan berkata, ramai dalam kalangan pengunjung yang singgah memberi cadangan kepadanya untuk meletakkan tabung infak.

“Hasil daripada infak orang ramai saya gunakan untuk sediakan minuman yang lebih baik. Contoh minggu ini saya sediakan teh ais lemon, kopi gula Melaka dan Milo. Setiap minggu saya sediakan minuman berbeza-beza, mengikut apa yang terdetik di hati.

“Namun ada mendakwa saya kenakan bayaran RM1 secawan. Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengenakan sebarang caj, ambil lah 10 cawan pun, tetap percuma,” katanya.

Meskipun tinggal di Bukit Beruang dia tidak pernah berasa terbeban memandu ke Masjid Selat untuk membuka gerai minuman percumanya meskipun jaraknya agak jauh.

“Sepanjang tempoh ini saya beberapa kali menempuh pengalaman yang tidak enak, tetapi tidak mengapa biarlah saya telan sendiri tidak perlu kongsi perkara seperti itu.

“Bila kita berbuat perkara baik pasti ada cabaran dan dugaan, jadi kena lebih banyak berdoa agar apa dilakukan hari ini diterima. Insya-Allah,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2775
Kongsi :
Previous post Helikopter bomba hantar 21 tan makanan ke perkampungan Orang Asli
Next post Lebih 7,000 mangsa banjir berlindung di PPS pagi ini
Ubah saiz-+=