Sorting by

×

Mini manifesto setiap Adun Melaka perlu ditunaikan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

LENDU 15 Januari – Setiap manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini akan terus dipantau bagi memastikan ia dicapai dan dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pemantauan itu turut membabitkan mini manifesto yang dijanjikan oleh setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) agar ia dapat ditepati demi kepentingan rakyat

“Kita meminta kepada semua Adun agar menyelesaikan mini manifesto yang ditawarkan semasa PRN lalu agar ditunaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) ada manifesto mereka tersendiri, saya percaya ada manifesto yang ditawar telah ditunaikan dan ada yang masih di dalam proses untuk menunaikannya.

“Kesemua ini mesti ditunaikan dan saya minta kepada mereka semua untuk pastikan janji ini perlu dilaksanakan dalam penggal pentadbiran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Sumbangan Perayaan Tahun Baharu Cina diadakan di Kompleks Japerun Lendu, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Burhanuddin Bachik dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Tambah Sulaiman, menerusi manifesto Kerajaan Negeri, Melaka telah mencapai sebanyak 95 peratus untuk menunaikan segala janji yang ditawarkan pada PRN yang lalu.

“Kita sedang menunaikan manifesto yang dijanjikan itu dan banyak yang telah dilaksanakan.

“Kita sedang menuju kepada manifesto lain yang sedang dalam proses untuk ditunaikan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1659
Kongsi :
Previous post Tolong jaga diri, keluarga sepanjang musim perayaan – KM
Next post Seorang maut, lima cedera akibat lumba haram
Ubah saiz-+=