MINDEF, Melaka bekerjasama tangani isu di Kem Terendak

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SUNGAI UDANG 28 September – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kerajaan Negeri Melaka akan bekerjasama erat bagi menangani segala permasalahan di Kem Terendak.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pendekatan itu diambil selepas mengadakan pertemuan dari hati ke hati bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, hari ini.

Katanya, antara perkara yang perlu ditangani secara bersama ialah isu tekanan air rendah di kem berkenaan yang sudah berlarutan begitu lama.

“Masalah air di Kem Terendak ini melibatkan kos yang tinggi. Jadi saya percaya kaedah terbaik mengatasi isu ini ialah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dan Kementerian yang terlibat.

“Bagaimanapun, usaha menangani masalah ini perlu dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan dan sudah pasti masalah air, elektrik ini merupakan perkara asas yang akan diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zin; Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan lain-lain kenamaan.

photo1664350783
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyerahkan replika kunci penyerahan rumah kepada anggota ketika mengadakan lawatan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Taming Sari, Sungai Udang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Hishammuddin turut memberi bayangan sebuah Hospital Angkatan Tentera (HAT) baharu akan dibina di Kem Terendak bagi menggantikan hospital lama yang agak daif.

Menurutnya, peruntukan itu telah disediakan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin memaklumkan, MINDEF turut komited menangani isu kos sara hidup membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM.

Katanya, pendekatan luar kotak akan diambil, selain mengadakan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk syarikat swasta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4569
Kongsi :
Previous post Orang Asli Pos Bihai berhati-hati kerap jumpa kesan tapak kaki harimau
Next post Jom ke Matta Fair Melaka 2022 pada 8 dan 9 Oktober ini
Ubah saiz-+=