Minat kaji ‘dadah’ bantu graduan Geomatika raih kejayaan
KUALA LUMPUR 15 Jun – Minat yang mendalam untuk mengkaji komposisi ubat termasuk dadah menjadi pendorong buat seorang graduan di Universiti Geomatika Malaysia (UGM) meraih kecemerlangan.
Low Li Yun, 25 tahun menjadi antara 800 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UGM kali ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Li Yun yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dan Farmakologi mengakui, bukan mudah untuk dia mendalami bidang tersebut ketika sesi pembelajaran diadakan secara atas talian akibat COVID-19.
“Bagi saya kita perlu minat apa yang kita belajar supaya kita lakukannya dengan bersungguh-sungguh kerana bidang Farmakologi ini melibatkan teori dan hafalan tetapi sebabkan saya minat, ia jadi mudah untuk saya.
“Kalau ikutkan selama dua tahun setengah belajar di sini selepas diploma dahulu, memang banyak cabaran yang saya hadapi terutama waktu COVID-19 di mana belajar secara ‘online’ sedangkan bidang ini memerlukan praktikal di makmal.
“Bidang ini menarik sebenarnya sebab kita mengkaji pasal dadah, cara penggunaan dan apa kesannya kepada tubuh badan manusia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Li Yun yang juga berdarah kacukan Cina dan India berkata, pilihan untuk melanjutkan pengajian di Geomatika adalah keputusan yang tepat.
“Saya belajar daripada zaman diploma dahulu memang Geomatika ini sentiasa memberi saya kejutan dan itu membantu saya sebagai pelajar di sini untuk lebih berjaya.
“Di sini kita boleh nampak universiti ini semakin berkembang setiap hari malah melahirkan banyak produk yang berkualiti seiring graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Saya pun tak malu untuk mengaku dan berbangga menjadi produk UGM.
“Ini semua hasil dorongan para pensyarah dan rakan-rakan yang turut sama membantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.