Sorting by

×

Mimpi miliki rumah jadi kenyataan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Jan – “Sebelum ini kami hanya impikan sahaja untuk memiliki sebuah rumah namun kini impian itu menjadi kenyataan,” luah Abu Shah Embok.

Menurut Abu Shah, 59, dia dan isteri Nursyafinaz Harun, 28, amat terharu apabila dimaklumkan permohonan mereka untuk memiliki rumah sendiri menerusi Projek Baiti Jannati diluluskan.

“Syukur Alhamdulillah, apabila doa kami dimakbulkan, selepas sekian lama menunggu untuk mempunyai rumah sendiri akhirnya tercapai.

“Kira-kira setahun setengah juga kami buat permohonan serta turun naik pejabat dan ianya membawa seribu makna untuk kami memulakan kehidupan baharu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Rumah Projek Baiti Jannati.

Hadir merasmikan majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka Ir. Khairizam Ibrahim, hari ini.

ADUN Tanjung Bidara merangkap Exco Pelaburan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melawat rumah baharu milik Abu Shah Embok, 59 sempena Majlis Penyerahan Rumah Projek Baiti Jannati TNB Peringkat Negeri Melaka di Kampung Pulai, Masjid Tanah. Turut bersama Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka Ir. Khairizam Ibrahim. Foto Iqmal Haqim Rosman

Abu Shah yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, dengan adanya rumah ini juga dia tidak lagi perlu memikirkan tanggungan untuk membayar sewa bulanan rumah seperti sebelum ini.

“Walaupun sewa rumah hanya RM250 sebulan tetapi nilai itu amat besar untuk kami namun kini wang itu kami dapat gunakan untuk membeli barangan keperluan lain termasuk barangan dapur.

“Lokasi rumah yang berdekatan dengan tempat kerja juga membuat saya bersama isteri hanya berjalan kaki dan itu juga menjimatkan duit minyak,” katanya yang ada menghidap penyakit darah tinggi.

Rumah tiga bilik yang didirikan diatas tanah peninggalan arwah emak Abu Shah itu didirikan dengan kos RM50,000 oleh Tenaga Nasional BN (TNB) selain turut dilengkapi kelengkapan rumah seperti katil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1334
Kongsi :
Previous post Pengawal keselamatan dipenjara 5 tahun langgar anak tiri
Next post Hanya yang layak diberi bantuan – Ab Rauf
Ubah saiz-+=