Sorting by

×

MIHF’24 PERKUKUH MELAKA SEBAGAI HAB HALAL ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 November – Penganjuran Melaka International Halal Festival 2024 (MIHF’24) diyakini mampu memperkasakan lagi potensi negeri ini sebagai sebuah pusat pelancongan halal yang mencakupi pelbagai pakej pelancongan mesra Muslim.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha yang digerakkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan MAIM Holdings Berhad itu juga akan memperkukuh lagi ekosistem industri halal yang pastinya menguntungkan negeri serta rakyat.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, paling Utama adalah platform tersedia menerusi MIHF’24 bakal memperkukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai hab halal antarabangsa.

“Kerajaan Negeri kekal optimis menyokong usaha untuk mengembangkan lagi industri halal di negeri ini. Beberapa inisiatif dilaksanakan bagi menarik lebih banyak syarikat tempatan dan antarabangsa menjadikan
Melaka sebagai pusat operasi, pengedaran serta pemasaran produk halal bertaraf antarabangsa.

“Saya yakin, usaha ini juga pastinya menjadi tarikan utama pelancong Muslim mahupun bukan Muslim seluruh dunia untuk datang melancong ke Melaka,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran MIHF’24 di sebuah hotel, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bersama timbalan beliau, Datuk Rosli Abdullah serta Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.

Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyampaikan kit jemputan kepada pesuruhjaya tinggi dan duta negara asing dari Bangladesh, Vietnam, Filipina serta Namibia.

Kit jemputan turut diserahkan kepada wakil agensi kerajaan berkaitan dan industri yang  terbabit secara aktif dalam industri halal.

Ketika berucap, Ketua Menteri turut mempelawa wakil negara asing memanfaatkan MIHF’24 dengan meneroka keunikan Melaka yang kaya dengan seni, budaya dan pelbagai nilai sejarah termasuk tarikan di tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kerjasama semua pihak termasuk usahawan dan industri tempatan, rakan antarabangsa amat penting dalam menjayakan visi Kerajaan Negeri. Menerusi kerjasama kukuh kita boleh memperkasakan lagi industri dan menjadikan Melaka sebagai hab utama produk serta perkhidmatan halal di rantau ini,” katanya.

Festival dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 22 Disember ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) adalah platform terbaik buat para usahawan, pelabur dan pemain industri halal untuk berkongsi pengetahuan, membina jaringan, sekali gus meneroka peluang perniagaan baharu yang dapat
memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

222
Kongsi :
Previous post LTAM BERPOTENSI JADI HAB PENERBANGAN SERANTAU
Next post JAGA KUALITI HALAL – KM
Ubah saiz-+=