MIHF’24: ANGKAT MARTABAT ‘FESYEN SANTUN’
AYER KEROH 21 Disember – Melaka International Halal Festival (MIHF) 2024 menjadi medan buat pereka fesyen melebarkan rekaan busana fesyen sopan (modest fashion) serta fesyen santun.
Ia menerusi International Modest Fashion Show yang menampilkan 48 busana rekaan enam pereka fesyen tempatan, Singapura dan Indonesia.
Lebih istimewa, pertunjukan fesyen itu turut diserikan dengan kehadiran Isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman.
Menurut Presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA), Junaidah Ishak, MIHF’2024 itu bukan sahaja menjadi wadah pereka tempatan menonjolkan hasil tangan, malah turut menjadi platform pengumpulan pereka fesyen yang membawakan konsep ‘modest’.
Beliau yang juga pereka fesyen berkata, festival seumpama itu memberi ruang buat pereka fesyen tempatan untuk terus berkarya memperkenalkan seni rekaan masing-masing.
“Melaka menjadi medan pereka fesyen yang membawakan rekaan fesyen sederhana dan santun untuk diketengahkan menerusi MIHF’24.
“Menerusi festival atau karnival seperti ini pereka fesyen tempatan dapat mengembangkan lagi karya hasil tangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas International Modest Fashion Show sempena MIHF’24 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Junaidah memaklumkan, menerusi MIHF’24 juga, ia dapat membantu mengetengahkan industri halal dalam bidang fesyen.
Malah, jelasnya, ia juga turut membantu mempromosi Malaysia dan budaya negara ini ke persada lebih tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.