
MIDF unjur inflasi 2022 Malaysia berada pada purata 3 peratus, tahun depan 2.3 peratus
KUALA LUMPUR, 4 Oktober – MIDF Research mengunjurkan kadar inflasi keseluruhan akan berada pada purata +3.0 peratus tahun ini, iaitu agak stabil berbanding negara serantau lain kerana kenaikan harga negara diimbangi oleh harga bahan api runcit bersubsidi.
Inflasi makanan domestik Malaysia juga dijangka berkurangan sedikit dalam beberapa bulan akan datang, katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
“Bagaimanapun, penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS akan terus melebarkan bil import makanan Malaysia terutamanya sebagai negara pengimport bersih makanan,” katanya.
MIDF Research berkata penurunan selanjutnya harga siling minyak masak botol antara lain mencerminkan kesan positif pembetulan sederhana dalam harga komoditi global.
Ia menambah susulan penyambungan semula eksport bijirin dari Ukraine, inflasi makanan global telah menunjukkan trend penyederhanaan sejak Julai 2022.
“Melangkah ke 2023, kami menjangkakan pertumbuhan harga keseluruhan akan menjadi lemah di tengah-tengah bekalan makanan yang lebih baik, harga komoditi yang rendah dan peningkatan nilai ringgit berbanding dolar AS.
“Kami mengunjurkan inflasi kepada purata pada +2.3 peratus untuk 2023,” tambahnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.