MIDA yakin Malaysia kekal destinasi pelaburan unggul di rantau Asia.
AYER KEROH 26 Sept. – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yakin Malaysia akan kekal sebagai destinasi pelaburan unggul di rantau Asia dengan aliran pelaburan berkualiti tinggi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Promosi Pelaburan dan Fasilitasi MIDA, S. Sivasuriyamoorthy berkata, pada tahun lalu, walaupun negara berdepan dengan gelombang pademik COVID 19, Malaysia berjaya meraih pelaburan bernilai RM167 bilion.
Malah, katanya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ekonomi adalah bernilai RM107.5 billion, iaitu peningkatan sebanyak 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ekonomi, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM62.5 bilion iaitu lonjakan 214.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Malah, lonjakan FDI adalah lebih tinggi dalam sektor perkilangan iaitu 223.1 peratus.
“Bagi tahun ini target (sasaran) kita untuk pastikan jumlah pelaburan adalah lebih tinggi daripada RM167 bilion, begitu juga tahun 2022 kita sasar untuk terus menarik jumlah pelaburan berkualiti yang tinggi,” katanya dalam termubual khas bersama Melaka Hari Ini, di sini.
Hadir sama Pengarah Bahagian Pelaburan Domestik MIDA, Sukri Abu Bakar dan Pengarah MIDA Melaka, Jaibalan Harirajan.
Sivasuriyamoorthy berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan bagi tempoh lima hingga enam tahun lepas dalam ekonomi adalah sebanyak RM200 bilion purata setiap tahun.
Jelasnya, bagi tahun ini jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga Jun sebanyak RM107.5 bilion adalah amat memberangsangkan, memandangkan negara dan dunia masih belum pulih daripada krisis pendamik COVID 19.
“Manakala dari segi bilangan projek diluluskan, bagi sektor perkilangan sebanyak 367, sektor perkhidmatan sebanyak 1,717 dan 26 projek adalah dalam ‘industry primary’.
“Ketiga-tiga sektor ini akan menyediakan hampir 45,000 peluang pekerjaan khususnya warga tempatan,” katanya.
Di sebalik cabaran terhadap ekonomi global yang disebabkan oleh pandemik COVID 19, MITI dan MIDA tetap komited untuk memastikan Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan pelaburan di mata dunia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.