Sorting by

×

MICT BEROPERASI 2026, TINGKAT KEHADIRAN PELANCONG KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDA HILIR 14 November – Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka (MICT) di Pulau Melaka dijangka akan beroperasi pada suku tahun ketiga 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yakin projek MICT itu berpotensi untuk meningkatkan pertambahan pelancong dari serata dunia ke negeri ini menerusi persinggahan kapal persiaran mewah di terminal tersebut.

Katanya, ia sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul di persada antarabangsa.

“Saya yakin sebaik sahaja projek MICT ini siap sepenuhnya ia akan menjadi sebuah jeti kapal persiar terbesar di Asia Tenggara seterusnya memainkan peranan penting dalam industri pengangkutan laut di Melaka.

“Menjelang hujung tahun 2025 Melaka bakal mempunyai sebuah jeti berbentuk L yang mampu menampung satu unit Kapal ‘Oasis of the Seas’ dengan kapasiti maksimum 8,880 penumpang dan anak kapal di Dermaga Luar.

“Manakala, bagi Dermaga Dalam, ia mampu menampung satu unit Kapal ‘Freedom of the Seas’ dengan had maksimum 5,875 penumpang dan anak kapal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke tapak Projek MICT Melaka Gateway dan Galeri Projek Melaka Gateway KAJ Development Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif KAJ Development Sdn Bhd Datuk Dr. Daing A Malek Daing A Rahaman dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Zhenghe, Sun Zhiguo.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerja-kerja pembersihan tapak kini sedang giat dijalankan bagi membolehkan pembinaan gudang dan kawasan pemunggahan sementara sebagai persediaan untuk meletak bahan binaan jeti.

“Pada masa sama MICT Sdn Bhd juga sedang membuat persiapan untuk menjalankan beberapa ujian dan kajian yang diperlukan termasuk Penganalisi Dinamik Cerucuk atau PDA (Pile Dynamic Analyzer).

“Projek pelaburan mega berimpak besar MICT ini pasti akan menjadi pemangkin kepada Melaka Gateway di Pulau Melaka 1,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2227
Kongsi :
Previous post RXZ MEMBERS MELAKA: PATUHI PERATURAN, UTAMAKAN KESELAMATAN – JPJ
Next post JETI MICT DIBINA BERBENTUK ‘L’
Ubah saiz-+=