Sorting by

×

MICOST LAHIR 3,670 GRADUAN SEJAK 2006

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Oktober – Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) yang ditubuhkan pada 2006 telah berjaya melahirkan seramai 3,670 graduan dalam pelbagai bidang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia menjadi petunjuk bahawa institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri itu komited dalam melahirkan generasi pewaris bangsa yang berpendidikan dan mencintai ilmu pengetahuan.

Jelas beliau, dalam arus pemodenan masa kini, MiCoST bagaimanapun perlu terus kehadapan dan diangkat martabatnya selaras dengan misi utama di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035), iaitu memperhebat institusi pendidikan agar lebih berkualiti dan bertaraf dunia.

“Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ribuan terima kasih kepada barisan pengurusan MiCoST yang dipimpin oleh Senator Datuk Mustafa Musa kerana telah banyak membawa perubahan dan inisiatif baharu bagi mengangkat martabat MiCoST sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang berwibawa di negeri Melaka.

“Saya yakin dan percaya, dengan ribuan graduan dilahirkan oleh MiCoST mampu memberi impak yang besar kepada pembangunan tenaga kerja mahir berkemahiran tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara yang holistik.

“Sesungguhnya, kejayaan sesebuah institusi itu dapat dilihat melalui keupayaan melahirkan graduan yang kreatif dan inovatif di samping berupaya mendepani pelbagai cabaran demi mencapai kejayaan dalam kehidupan. Malah mampu mencipta peluang pekerjaan, bukan sekadar pencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) Kali ke-10 Tahun 2024 di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah.

Pada istiadat konvokesyen kali ke-10 itu, seramai 142 graduan telah diraikan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menyarankan MiCoST agar mengambil peluang untuk menambah baik serta memberi nilai tambah di dalam setiap program pengajian yang ditawarkan kepada pelajar bagi memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Saya mendoakan agar MiCoST terus maju dan menjadi platform melahirkan lebih ramai graduan yang berkualiti demi mendepani realiti dunia luas yang pantas berubah sekali gus meletakkan Melaka sebagai hab pendidikan yang terunggul di rantau ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post PENGANJURAN JUALAN RAHMAH DISASAR MENINGKAT 200 PERATUS
Next post TERIMA KASIH KERAJAAN NEGERI MELAKA – AARON CHIA
Ubah saiz-+=