MIB mudahkan urusan pelabur – KM

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 24 November – Melaka Industrial Booster (MIB) yang mempermudah dan memendekkan tempoh masa urusan pelabur antara inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan untuk menarik lebih banyak pelaburan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MIB merupakan satu proses baharu yang pantas atau ‘fast lane’ bagi pemajuan kategori industri yang melibatkan pengeluaran permit pembinaan bermula dari proses permohonan pelan pemajuan, kelulusan pembinaan, pengeluaran Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) sehingga ke lesen operasi.

Jelas beliau menerusi pelaksanaan MIB proses berkenaan yang sebelum ini kebiasaannya boleh memakan masa sehingga 180 hari dipendekkan kepada cuma 30 hari sahaja.

Katanya, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjadi perintis pelaksanaan inisiatif itu dengan kejayaan menerbitkan Manual Pelaksanaan MIB MPHTJ.

“Saya dimaklumkan bahawa melalui pelaksanaan MIB MPHTJ ini, permohonan lesen operasi dapat dipercepatkan dimana pengeluaran lesen boleh diberi dalam tempoh 24 jam selepas CCC dikeluarkan berbanding sebelum ini yang mengambil masa antara satu hingga dua bulan. Tahniah MPHTJ.

“Justeru, saya mahu kejayaan MIB ini menjadi ‘enabler’ bagi membantu meningkatkan pelaburan ke Negeri Melaka, manakala MPHTJ dapat memperluaskan kawasan industri terancang yang akan diperincikan melalui Rancangan Tempatan MPHTJ 2035 (Penggantian) pada masa akan datang.

“Manual MIB dijangka dilaksanakan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka, bergantung kepada ketersediaan masing-masing, selewatnya-lewatnya pada suku pertama 2024 supaya Melaka menjadi negeri mesra pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri Melaka November 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata pelaksanaan MIB secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Melaka.

“Selepas ini tempoh kebenaran merancang, urusan pelan pembangunan, pelan kerja tanah pelabur di negeri ini akan lebih cepat, kita boleh beri kelulusan dalam tempoh 30 hari maksimum atau lebih awal.

“Manakala lesen kita boleh beri dalam tempoh 24 jam selepas mendapat CCC), tetapi dengan syarat pembinaan mereka mesti sudah siap 80 peratus.

“Pelaksanaan MIB ini turut mendapat kerjasama Invest Melaka Berhad (IMB) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

935
Kongsi :
Previous post PBT Melaka cemerlang – KM
Next post 98 peratus aduan rakyat selesai – KM
Ubah saiz-+=