MHI kongsi rahsia jadi pencipta kandungan digital berjaya
AYER KEROH 27 Julai – Seramai 20 peserta menyertai kursus Digital Creator Masterclass yang dianjurkan Melaka Hari Ini (MHI) Sdn Bhd di Studio Melaka TV, Kompleks Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI), di sini, hari ini.
Kursus julung kali diadakan itu merupakan perkhidmatan terbaharu ditawarkan media rasmi Kerajaan Negeri Melaka itu.
Kursus berkenaan diadakan dengan matlamat memberi pendedahan, selain berkongsi ilmu dan tip untuk membantu peserta pelbagai latar belakang menjadi seorang pencipta kandungan digital yang berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad berkata, selain berkongsi laporan berita mengenai Negeri Melaka, MHI juga komited untuk berkongsi kepakaran yang dimiliki bersama masyarakat, khususnya rakyat Melaka.
“Ini selaras dengan aspirasi pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu merakyatkan apa jua perkhidmatan Kerajaan Negeri.
“Insya-Allah, selepas ini, MHI akan menganjurkan lebih banyak kelas dan kursus seumpamanya pada masa akan datang,” katanya.
Digital Creator Masterclass membabitkan empat segmen iaitu fotografi, reka grafik, komunikasi berkesan depan kamera dan penciptaan video.
Kelas pertama ialah asas fotografi digital yang dikendalikan Iqmal Haqim Rosman, pemenang Anugerah Emas Fotografi Ketua Menteri Melaka.
Iqmal Haqim merupakan jurufoto dengan 18 tahun pengalaman dan pernah berkhidmat di The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd dan kini di Melaka Hari Ini Sdn Bhd.
Antara pengisian kelas fotografi digital adalah asas seni fotografi, kawalan kamera dan teknik komposisi fotografi untuk penghasilan sebuah gambar yang dapat menarik perhatian penonton.
Selepas itu, peserta didedahkan dengan kelas reka grafik yang disampaikan Rafie Jamaludin yang merupakan pereka grafik berpengalaman selama 18 tahun dan pernah membuat rekaan ‘coffee table book’ Yang di-Pertua Negeri Melaka serta Ketua Menteri Melaka.
Kelas berkenaan, antara lain memberi pendedahan kepada peserta mengenai elemen rekaan grafik serta teknik membuat rekaan mudah yang berjaya menarik perhatian ramai.
Selepas rehat, peserta menyertai kelas komunikasi berkesan di hadapan kamera yang dikendalikan personaliti Melaka Hari Ini, Faris Haikal Zakaria yang juga merupakan pemenang Anugerah Emas Laporan TV Cemerlang daripada Ketua Menteri Melaka.
Tidak hanya menyampaikan bahan dalam bentuk teori, kelas ini turut berkongsi rahsia mencipta sesuatu kandungan dengan teknik komunikasi yang dapat menarik perhatian audiens.
Malah, peserta juga diberi peluang mempraktikkan teknik yang diajar supaya lebih difahami dan dapat diamalkan dalam kerjaya mereka.
Segmen terakhir merupakan kelas penciptaan video oleh Muhammad Amirul Ramli yang merupakan tenaga pengajar berpengalaman dalam penciptaan dan suntingan video di Negeri Melaka.
Kelas tersebut memberi fokus kepada jenis-jenis komposisi video dan suntingan video cara mudah yang mampu menarik perhatian penonton, selain peserta turut diberi tugasan menghasilkan video pendek yang menarik.
Kursus selama sehari itu bukan sahaja membantu peserta mendapat pelbagai ilmu bermanfaat untuk menjadi pencipta kandungan digital, bahkan mereka turut diberikan sijil.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.