MHI dan MMU Melaka bincang kerjasama dalam sektor penyiaran dan animasi
AYER KEROH 8 Okt – Melaka Hari Ini (MHI) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) Melaka bercadang menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk penyiaran dan animasi.
Menurut Pengarah MMU Kampus Melaka, Dr. Mohd Rizal Abdul Razak, perkara itu antara yang dibincangkan hasil pertemuan hampir dua jam itu dalam melahirkan masyarakat berdaya saing seiring pembangunan negara.
Jelasnya, jalinan kerjasama membabitkan pelbagai bidang termasuk penyiaran dan animasi itu tidak tertakluk kepada MMU kampus Melaka, malah akan diperluaskan di MMU Cyberjaya dan MMU Nusajaya.
“Kita telah aturkan pertemuan lanjut untuk kita perhalusi beberapa cadangan terutama dalam bidang penyiaran serta animasi dan sebagainya.
“Jalinan kerjasama ini juga membuktikan kita menyokong aspirasi Kerajaan Melaka ke arah pembangunan negara dalam melahirkan masyarakat berdaya saing, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjung hormat Ketua Pegawai Eksekutif MHI Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Operasi MHI Anuar Shaari.
Dalam kunjungan hormat itu, Abdul Jalil dan Anuar turut dibawa melawat ke beberapa fakulti MMU termasuk Fakulti Teknologi Maklumat; Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Undang-undang.
Terdahulu, Abdul Jalil dan Anuar turut mengadakan perbincangan bersama Presiden MMU Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud bagi menjalin kerjasama dan hubungan antara dua agensi itu.