Sorting by

×

MEVB rancang keluarkan motosikal elektrik dengan 75 peratus teknologi UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

DURIAN TUNGGAL 25 November – M Electric Vehicle Berhad (MEVB) bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Holdings menyasarkan untuk mengeluarkan motosikal elektrik yang berkualiti dengan harga berpatutan kepada pelajar dan golongan B40.

Pengerusi MEVB, Datuk Lau Ah Kew berkata perancangan bersama itu akan dilaksanakan mengikut tiga fasa yang mana fasa pertama akan dilaksanakan pada Disember depan bagi pelaksanaan ‘pilot project’ dahulu.

Katanya, Bagi fasa pertama, sebanyak 1,000 unit motosikal elektrik akan diimport dari negara China dan satu unit akan diserahkan kepada UTeM untuk sesi kajian dan penambahbaikan menggunakan teknologi tinggi dari universiti awam itu.

“Fasa seterusnya, motosikal elektrik itu akan di ‘ upgrade’ dengan guna pakai 75 peratus menggunakan teknologi UTeM sekaligus akan membuat pemasangan komponen di Melaka.

“Seterusnya, kita akan menjual dengan harga permulaan di bawah RM8,000 untuk setiap unit motosikal elektrik itu dan dalam tempoh lima tahun bermula dari bulan Jun 2023 sehingga 2027, kita sasarkan akan mencapai jualan sehingga 100,000 unit motosikal elektrik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM Holdings dan MEVB di Bilik Mesyuarat Utama Bangunan Canselori UTeM, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Canselor UTeM dan Naib Canselor UTeM, Dr Massila Kamalrudin menyaksikan pertukaran tandatangan MoU antara UTeM Holdings dan MEVB.

Hadir sama, Pengerusi MEVB Datuk Lau Ah Kew; Ketua Pegawai Eksekutif MEVB, Lee Yen Cheng, Ketua Pegawai Operasi UTeM Holdings, Zahiful Azwan Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif PERTAM, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Lau turut memaklumkan untuk memecah pasaran antarabangsa sekiranya penjualan motosikal elektrik itu mendapat sambutan dalam negara.

Jelasnya, beliau turut memberitahu perancangan MEVB untuk membuka kilang motosikal elektrik di Melaka dan lokasinya sama ada di Cheng atau Ayer Keroh.

“Pada masa ini kita (MEVB) telah pun mendapat kelulusan lesen pengilang daripada MIDA bagi pemasangan motosikal elektrik.

“Dan pihak MEVB sedang dalam proses menunggu untuk mendapat kelulusan daripada MOT, SIRIM, dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk kelulusan spesifikasi, nombor pendaftaran, pengimportan dan sebagainya.

“Dengan pembinaan kilang ini juga, banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan serta menjana ‘spil-over’ yang baik kepada pembekal-pembekal tempatan, ” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3428
Kongsi :
Previous post Cuti umum: Majikan, pekerja perlu bincang tentukan pilihan tarikh
Next post PN kekal pendirian tak sertai kerajaan, main peranan pembangkang berwibawa
Ubah saiz-+=