Mesyuarat permudah urusan pelabur perlu diadakan lebih kerap – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 19 September – Semua agensi dan jabatan melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan disaran lebih kerap mengadakan mesyuarat menerusi One Stop Centre (OSC) berkaitan sebarang kelulusan kepada pelabur.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, saranan itu bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih teratur dalam usaha menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur.

Katanya, bagi menambah baik kelulusan permohonan, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dicadang untuk mengadakan Pre-Council OSC untuk tujuan pelaburan.

“PBT dicadang untuk adakan pre-council OSC supaya tidak ada permohonan mengambil masa panjang dan fi yang mahal, selain mempermudah kelulusan untuk pelabur.

“Kerajaan Negeri berusaha menjadikan negeri ini mesra pelabur, sudah pasti banyak agensi terlibat dalam menguruskan kelulusan atau memberi pandangan serta cadangan sebelum kelulusan diberi.

“Jadi saya berpandangan untuk OSC diadakan lebih kerap bagi (mempermudah) kelulusan projek-projek industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Ketua Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco serta ketua-ketua jabatan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut berharap agar segala kelulusan sama ada membabitkan Kerja Merancang (KM) atau Perancang Pembangunan (PB) dapat dilaksanakan lebih cepat dan awal.

“Kita tak mahu pelabur merasa sukar untuk mereka dapat lesen atau kerja-kerja KM yang seharusnya boleh dibuat lebih awal, cepat dan teratur. Menerusi hasil pertemuan jabatan dan agensi ini, KM ini akan dipinda menjadi lebih efisien.

“Jika dahulu kita beri KM kepada individu yang melabur namun kali ini kita akan beri dalam bentuk kelompok (pelabur) untuk sesuatu kawasan industri yang telah diwartakan iaitu dalam bentuk berkelompok dan bukan lagi individu,” katanya.

Tambah Ab Rauf, OSC diwujudkan bagi menyambut pelabur yang berminat menjadikan Melaka sebagai tapak pelaburan.

“OSC ini perlu diadakan lebih kerap dan KM tapak berkelompok yang diberikan adalah di sepanjang kawasan Straits Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ). Di SM-WEZ, sebanyak 41 konsesi yang sedang berusaha untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai sebuah bandaraya baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

947
Kongsi :
Previous post Tujuh perkara penting jadikan Melaka negeri mesra pelabur – KM
Next post Jualan Rahmah Beras akan dilaksana di semua kawasan Parlimen – Fuziah
Ubah saiz-+=