Mesyuarat Jemaah Menteri fokus isu banjir dan COVID-19- PM
GANGSA 4 Jan – Isu banjir yang melanda seluruh negara dan COVID-19 antara fokus utama perbincangan dalam mesyuarat Kabinet esok, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaaakob.
Beliau berkata, dua topik itu menjadi fokus terkini berikutan banjir yang melanda negara dan isu COVID-19 yang agak membimbangkan.
“Isu COVID-19 agak membimbangkan pada masa ini meskipun kes (direkodkan) bawah 3,000 sehari, namun dengan kehadiran varian baru akan menyukarkan kita menjadi negara endemik.
“Manakala bagi pasca banjir, saya telah umumkan macam-macam insentif tapi tidak cukup dengan pengumuman sahaja, kita perlukan perlaksanaan juga, jadi dua isu ini akan dibincangkan dalam (mesyuarat)kabinet esok,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS SK Gangsa, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan kenamaan-kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, sebelum akhir minggu ini seluruh rakyat Malaysia yang terjejas dengan bencana banjir akan menerima bantuan wang ihsan bernilai RM 1,000 yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
“Hampir 70 peratus mangsa banjir sudah menerima bantuan wang ihsan ini dan dijangka sebelum akhir minggu ini seluruh Malaysia (yang terjejas) akan terima sepenuhnya.
“Rakyat sudah susah, jadi kerajaan perlu permudahkan urusan pemberian wang ihsan bencana banjir ini, sebelum fokus isu-isu lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.