Mesej suntikan ‘walk-in’ untuk 18 tahun ke atas di PPV UiTM disahkan palsu

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

LENDU 12 Ogos – Tiada kaunter ‘jumpa terus’ buat individu berusia 18 tahun ke atas disediakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu seperti ditularkan di media sosial, semalam.

Ketua PPV terbabit, Dr Adila Muhammad berkata, pihaknya tidak menyediakan inisiatif itu buat golongan yang tidak mempunyai janji temu untuk menerima suntikan vaksin secara terus di PPV itu.

Jelasnya, penyebaran berita palsu di WhatsApp dan Facebook telah menyebabkan kekeliruan orang ramai.

Ujarnya, pihaknya bagaimanapun mengambil tindakan pantas bagi menafikan berita itu agar tidak mengelirukan orang ramai.

Ketua PPV UiTM Dr Adila Muhammad.

“Selepas kami dimaklumkan terdapat mesej tular daripada Facebook dan WhatsApp tentang 18 tahun ke atas boleh ‘walk in’ ke PPV UiTM Lendu, kami segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah dan tindakan pantas telah diambil bagi membalas semula kenyataan yang ditularkan.

“Setakat ini memang terdapat kaunter ‘walk-in’ disediakan buat 18 tahun ke atas bagaimanapun inisiatif itu hanya dijalankan di sekitar Lembah Klang sahaja.

“Perkara ini satu kesalahan kerana telah mengelirukan orang ramai dan memberi harapan kepada mereka untuk menerima vaksin.

“Mujur dua orang sahaja yang ‘keliru’ dengan maklumat palsu itu datang sejak pagi tadi, namun mereka akur selepas diberi penjelasan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Tinjauan MHI mendapati hanya kaunter ‘walk-in’ disediakan buat golongan emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dibuka sejak awal pagi tadi dengan kuota 50 individu terawal dibenarkan menerima suntikan vaksin tanpa janji temu.

Biarpun berita palsu itu tular sejak semalam, tiada kehadiran luar jangka dan kebanyakan yang hadir telah menerima janji temu menerusi aplikasi My Sejahtera.

Semalam, tular di WhatsApp dan Facebook menyatakan PPV terbabit akan membuka kaunter ‘walk in’ suntikan vaksin bagi golongan 18 tahun ke atas dengan had 550 individu terawal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung mesej itu.

“Tindakan menyebarkan mesej palsu itu satu kesalahan kerana boleh mengelirukan orang ramai.

“Pihak polis memandang serius perkara ini dan menasihatkan orang ramai agar mengkaji berita sebelum menyebarkannya, malah perlu merujuk kepada pihak terlibat sebelum melakuan tindakan itu,” katanya.

Beliau berkata, polis akan menjalankan sisasatan sekiranya menerima laporan terbabit dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

988
Kongsi :
Previous post Dua lelaki jual darjah kebesaran palsu didakwa
Next post (EKSKLUSIF) Kamarulsyah kini timbalan pengarah APM Johor
Ubah saiz-+=