Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui
BERA 6 Sept – Mereka yang dalam tempoh rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tidak perlu bimbang kerana akan menerima Bantuan Khas COVID-19 (BKC), selepas keputusan rayuan diketahui hujung bulan ini.
Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah berkata, kerajaan mendengar keluhan segelintir rakyat yang resah apabila mengetahui pemberian BKC kepada golongan B40 adalah berdasarkan data lulus BPR, memandangkan mereka masih berada dalam tempoh rayuan.
“Jika mereka lulus rayuan dengan kelayakan sedia ada, mereka juga layak menerima BKC. Jika tidak layak (menerima BPR), kita akan menggunakan kaedah silang data untuk semak dengan data percukaian dan jika memenuhi syarat M40, mereka juga tidak terkecuali untuk menerima bantuan ini.
“Kita sedaya upaya memastikan mereka yang terkesan dengan pandemik ini dibantu menerusi pelbagai kaedah diberikan kerajaan, namun bantuan ini juga mesti mematuhi syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BKC di sebuah bank di Triang di sini hari ini.
Mohd Shahar mengakui pandemik yang tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini, juga menyebabkan berlaku situasi mereka dalam kategori T20 berubah menjadi M40, sekali gus layak untuk menerima bantuan kerajaan, jika memenuhi syarat.
Sehubungan itu, kementerian sentiasa melaksanakan proses semak dan imbang untuk mengemas kini data bagi mengurangkan risiko mereka yang layak tercicir, mengambil kira bantuan diberikan adalah secara bersasar dan berperingkat.
BKC dijadualkan dibuat pada September, November dan Disember.
Selain itu, Mohd Shahar berharap penerima BPR membuat semakan akaun bank kerana didapati masih ada yang tidak menyedari BKC dikreditkan ke akaun mereka kerana berpandangan tidak membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan tunai tersebut.
Pada 1 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian BKC fasa satu bermula hari ini, dijangka memanfaatkan 10 juta penerima B40 dan M40 yang layak, terdiri daripada 4.4 juta isi rumah, warga emas (1.1 juta) dan bujang (4.5 juta) dengan peruntukan RM3.1 bilion.
Katanya, BKC pada awalnya dijadualkan pada Ogos lepas namun kelewatan berlaku disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan, sebelum perdana menteri mengarahkan pembayaran disegerakan sebaik sahaja Kabinet baharu memulakan kerja.
“Kita mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk memberi bantuan dan kerajaan menggunakan konsolidasi fiskal untuk kita melihat secara keseluruhan perbelanjaan dan penggunaan kewangan negara yang lebih kepada rakyat bagi membantu mereka,” katanya.
Secara keseluruhan, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM17.1 bilion pada tahun ini bagi pelaksanaan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) telah dan akan diberikan kepada mereka yang layak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.