“Mereka bertiga kawan rapat sejak kecil” – Bapa anak kembar lemas

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BUKIT PALAH 19 Mei. – “Mereka bertiga memang kawan rapat sejak kecil, malah arwah Badrol (Badrol Azhan Nizam Bachik, 9) juga sudah saya anggap seperti anak sendiri.

“Saya reda, Allah hanya pinjamkan anak bongsu (Muhammad Fakhrullah) selama sembilan tahun sahaja.”

Itu luahan sebak Rozami Mat Hassan, 47, yang kehilangan anaknya akibat lemas ketika bermain di tali air dalam kebun tembikan miliknya di Kampung Gelam, Tanjung Keling petang semalam.

ROZAMI Mat Hassan.

Menurut Rozami dia tidak menyangka, kegembiraan anak bongsu daripada enam beradik itu menemaninya berkebun petang semalam berakhir tragedi meninggalkan kembar Muhammad Fakhrullah, Muhammad Fakhruddin, 9, yang terselamat dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam.

Mayat Badrol pula ditemui terapung oleh pasukan elit bomba iaitu Multi Skill Team (MUST) jam 9.35 pagi tadi selepas usaha mencari dan menyelamat dimulakan sejak petang semalam.

Menceritakan semula detik sebelum kejadian, Rozami yang juga pesara tentera berkata, dia mengajak Muhammad Fakhrullah menemaninya ke kebun pagi semalam.

“Selepas beberapa jam, saya mengajaknya pulang ke rumah kira-kira 500 meter dari kebun untuk makan tengah hari.

“Fakhrullah makan nasi seperti biasa berlaukkan ikan goreng selain turut berselera menjamah pau yang dihidangkan,” katanya sebak ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka sebentar tadi.

ARWAH Muhammad Fakhrullah ceria ketika bergambar di pagi Syawal.

Menurut Rozami, selepas itu dia masuk ke bilik untuk berehat sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan kedatangan orang kampung memaklumkan Fakrullah lemas di tali air ketika bermain di kebun bersama Fakhruddin dan Badrol.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus bergegas ke kebun dan waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan memikirkan nasib anak-anak dan Badrol yang sudah saya angggap seperti anak sendiri.

“Sebaik tiba di kebun, saya lihat Fakhruddin berdiri tepi tali air menunjukkan tempat adiknya lemas sambil memberitahu Badrol sudah berlari ke arah rumah. Tanpa berfikir panjang, saya terus terjun ke dalam air untuk menyelamatkan anak.

“Tidak lama kemudian, saya berjaya mengangkat arwah Fakhrullah yang sudah lembik dan kebiruan-biruan. Dalam keadaan cemas saya cuba memberikan bantuan pernafasan namun tidak berjaya.

“Saya kemudian terus membonceng arwah menuju ke Klinik Kesihatan Tanjung Kling sebelum dia disahkan meninggal dunia,” katanya menahan tangisan.

Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelam selepas solat Zuhur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post Pasar Borong Batu Berendam tutup tiga hari, disyaki peniaga positif COVID-19
Next post 191 mangsa banjir pulang ke kediaman
Ubah saiz-+=